HLIB unjur pendapatan Hiap Teck Venture terkesan bagi 1QFY23 akibat kos tinggi | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur pendapatan Hiap Teck Venture terkesan bagi 1QFY23 akibat kos tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pendapatan Hiap Teck Venture Berhad akan terkesan pada 1QFY23 kesan daripada kos input yang tinggi dan harga keluli yang rendah.

 

Firma itu berkata, perkara itu menyebabkan berlakunya penurunan ketara dari segi keuntungan kumpulan.

 

Pada masa sama, firma itu berkata, kumpulan itu juga berdepan kekurangan permintaan selain trend penurunan harga keluli di pasaran.

 

"Margin keuntungan kumpulan dijangkah pulih menjelang 2QFY23 namun permintaan akan kekal lemah pada suku berkenaan atas faktor bermusim.

 

"Selepas 1HFY23, prospek kumpulan bergantung pada dasar sifar COVID-19 China dan pelaksanaan pakej rangsangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan susut 59.53% sebanyak RM24.48 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2022 (4QFY22) berbanding RM60.48 juta pada tahun lalu selepas mencatatkan margin lebih rendah bagi operasi hiliran kesan peningkatan kos barang jualan.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan keuntungan yang lebih rendah daripada operasi sebanyak RM6.68 juta berbanding RM21.64 juta sebelumnya, disebabkan oleh  penurunan nilai inventori kepada nilai boleh direalisasi bersih sebanyak RM203.32 juta.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan operasi pada FY23 akan mengikuti jumlah FY22 dengan anggaran RM22 juta dengan kebanyakannya akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian produk bagi segmen pembuatan.

 

"Kami juga mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan selepas mengambil kira persekitarab operasi yang mencabar," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 24 sen. - DagangNews.com