HLIB unjur tiada peningkatan penarafan ESG dalam sektor perbankan pada 2023 | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur tiada peningkatan penarafan ESG dalam sektor perbankan pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan tiada sebarang trend peningkatan penarafan dalam sektor perbankan pada 2023 walaupun berlaku perubahan dalam penilaian amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) disebabkan oleh perubahan dalam model pemarkahan.

 

Firma itu berkata, ia menunjukkan bahawa komitmen bank terhadap ESG sebahagian besarnya kekal sama daripada tahun sebelumnya.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya bahawa sektor perbankan mempunyai profil ganjaran risiko yang seimbang.

 

"Pertumbuhan yang sepatutnya dinikmati oleh bank (seperti pengembangan NIM yang besar, pertumbuhan kredit yang kukuh) sepanjang FY23 dan FY24 menjadikan tempoh 12 bulan akan datang kurang menarik. 

 

"Selain itu, sektor itu terpaksa bergelut dengan kemungkinan kos dana yang lebih tinggi, pendapatan bukan faedah teras (NOII) yang lebih kecil danpertumbuhan pinjaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan pemarkahan proprietari baharu, mereka meluaskan penilaian ESG kepada 20 parameter.

 

Katanya, pihaknya menambah Pendedahan & Ketelusan untuk menjadi sebahagian daripada pertimbangan penarafan baharu untuk memberi ganjaran kepada bank yang memberikan maklumat ESG yang lebih mendalam.

 

"Bagaimanapun, setiap komponen yang kami nilai membawa pemberat yang berbeza kepada skor keseluruhan, disesuaikan dengan tahap kepentingan, ditentukan oleh kami iaitu Alam Sekitar - 20%, Sosial - 20%, Tadbir Urus - 50%, Pendedahan & Ketelusan - 10%; penilaian lebih besar yang diberikan kepada Tadbir Urus adalah kerana amalan korporat yang baik adalah penting untuk memastikan dan meningkatkan kemampanan jangka panjang sesebuah bank," katanya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan data terbaharu dengan model pemarkahan ESG baharu, penarafan min bagi sektor perbankan ialah 3.8 mata (+70bp berbanding metodologi sebelumnya); kebanyakan bank menunjukkan prestasi yang baik untuk Tadbir Urus (>4 mata) tetapi menunjukkan prestasi di bawah par untuk Alam Sekitar (< 3 mata) sambil hanya mencatat purata untuk Sosial (~3 mata).

 

Katanya, secara individu, Maybank masih mencatatkan gred ESG tertinggi 4.1 manakala Alliance Bank berada di kedudukan terbawah dengan 3.3 mata.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' untuk sektor perbankan tetapi mengekalkan saranan 'beli untuk RHB Bank dengan harga sasaran (TP) RM6.60 sesaham manakala Bank Islam Malaysia Berhad dengan TP RM3.00 sesaham. - DagangNews.com