Ho Wah Genting, Terrain Korea bekerjasama promosi, pasarkan 11 kondominium di Korea Selatan | DagangNews Skip to main content

Ho Wah Genting, Terrain Korea bekerjasama promosi, pasarkan 11 kondominium di Korea Selatan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Ho Wah Genting Berhad mengumumkan anak syarikatnya, HWG Fintech Property memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Terrain Korea Co. Ltd. pada 5 September 2022 bagi mempromosikan 11 kondominium di Iskandar Residence bagi pasaran Korea Selatan. 

 

Menerusi pelantikan itu, Terrain Korea akan mempromosikan produk HWG Fintech Property dan memasarkannya di Korea Selatan.

 

"Pihak berkaitan perlu melaksanakan surat pelantikan untuk menyatakan perincian pelantikan termasuk hak, kewajiban dan syarat-syarat berkaitan sekiranya ia menjadi kenyataan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

MOU itu dimeterai untuk menetapkan terma dan syarat utama awal kerjasama bersama berhubung dengan mempromosi dan memasarkan 11 unit kondominium yang terletak di Iskandar Residence secara bukan eksklusif di Korea Selatan.

 

Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk tempoh dua belas bulan dari tarikh MOU melainkan ditamatkan lebih awal sekiranya ada surat pelantikan baharu atau perjanjian lain menggantikan MoU tersebut.

 

"Perjanjian itu juga akan terbatal sekiranya mana-mana pihak memberi notis selama tujuh hari mengenai niat mereka untuk membatalkannya atau ketiadaan surat pelantikan atau sebarang bentuk perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua pihak.

 

"Perjanjian itu juga akan batal sekiranya ada mana-mana pihak muflis atau terlibat dengan posiding untuk penyelesaian hutang," katanya. - DagangNews.com