Hong Leong Asset Management lancar skim persaraan swasta pertamanya, Hong Leong PRS Conventional | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Asset Management lancar skim persaraan swasta pertamanya, Hong Leong PRS Conventional

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Hong Leong Asset Management Berhad (Hong Leong AM) melancarkan skim persaraan swasta (PRS) pertamanya, Hong Leong PRS-Conventional (Hong Leong PRS).

 

Hong Leong AM berkata, pelancaran Hong Leong PRS menjadikan mereka sebagai penyedia pelan persaraan terbaharu di Malaysia.

 

Hong Leong PRS merupakan skim sukarela yang ditawarkan kepada orang ramai dengan tujuan menyediakan saluran untuk mengumpul dan mempelbagaikan simpanan persaraan di bawah persekitaran yang tersusun dan terkawal.

 

Empat dana di bawah Hong Leong PRS ialah Hong Leong PRS Growth Fund, Hong Leong PRS Moderate Fund, Hong Leong PRS Conservative Fund (kategori dana teras), dan Hong Leong PRS Asia Pacific Fund (kategori dana bukan teras).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong AM, Hoo See Kheng berkata, pelancaran PRS Hong Leong adalah tepat pada masanya kerana rakyat Malaysia mula membina semula dan mengukuhkan jaringan keselamatan kewangan untuk masa depan.

 

“Di Hong Leong AM, kami percaya perancangan kewangan khususnya untuk persaraan, perlu dilihat semula supaya inklusif dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia. 

 

"Kami komited untuk menggalakkan perancangan persaraan yang lebih baik, terutamanya dalam kalangan pelabur muda, yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

“Hong Leong PRS ialah skim holistik yang memberi anda peluang untuk mempelbagaikan dana persaraan anda dengan melabur dalam pelbagai saluran seperti ekuiti, pendapatan tetap, pasaran kewangan atau skim pelaburan kolektif seimbang, yang membolehkan pelabur mengoptimumkan simpanan persaraan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jumlah langganan awal minimum Hong Leong PRS ialah RM100 manakala jumlah langganan tambahan minimum RM50.

 

Sah sehingga 2025, ahli PRS yang melabur dalam PRS layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000, bergantung kepada kurungan cukai ahli PRS, ini boleh membawa penjimatan sehingga RM900. - DagangNews.com