Hong Leong Bank dijangka catat untung bersih yang lebih baik pada 1QFY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank dijangka catat untung bersih yang lebih baik pada 1QFY23 - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan Hong Leong Bank Berhad mencatatkan untung bersih yang lebih baik pada 1QFY23 disokong oleh momentum pinjaman yang berterusan.

 

Firma itu berkata, ia juga dibantu margin faedah bersih (NIM) yang bertambah baik ditambah dengan tiada kejutan kepada kos kredit daripada peruntukan yang lebih tinggi.

 

Katanya, peningkatan itu akan disokong oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), pelaburan dalam sekuriti dan kos pendanaan yang optimum.

 

1QFY23 menyaksikan dua kenaikan OPR (Julai dan September 2022) sebanyak 25bps setiap satu berbanding satu (25bps) pada 4QFY22 (Mei 2022).

 

"Kami menjangkakan lagi kenaikan OPR sebanyak 25bps dalam mesyuarat MPC pada November 2022 dan peningkatan 25bps lagi pada Januari 2023.

 

BACA JUGA: PNB bakal undi menentang cadangan Hong Leong Bank untuk terbitkan saham
 

"Ini akan menjadikan OPR kembali kepada 3.00% seperti sebelum pandemik dan setiap kenaikan 25bps dalam OPR akan memberikan peningkatan sebanyak 4bps kepada NIM kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada laporan media, terdapat spekulasi bahawa terdapat satu lagi moratorium akan diberikan kepada peminjam perusahaan kecil sederhana (PKS).

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan ia tidak akan berlaku kerana bank berkemungkinan meneruskan pendekatan bersasar dalam penjadualan semula pinjaman selain penstrukturan semula untuk peminjam yang memerlukan bantuan pembayaran balik.

 

"Berdasarkan keadaan ekonomi yang mencabar yang berpunca daripada harga komoditi yang lebih tinggi dan mata wang domestik yang lebih lemah, ia memberi kesan kepada kos bahan mentah, peningkatan dalam kemerosotan nilai pinjaman PKS 

 

"Kami menjangkakan kualiti aset keseluruhan kumpulan kekal sihat dengan perlindungan keselamatan 85% untuk pinjaman PKS," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar RM23.10 sesaham. - DagangNews.com