KUALA LUMPUR 3 Okt - Hong Leong Bank, Hong Leong Islamic Bank dan Cagamas Berhad berjaya memuktamadkan rumusan pinjaman dan transaksi pembiayaan aset hijau bernilai RM300 juta.
Urus niaga itu dibiayai oleh terbitan Bon Hijau ASEAN setahun Cagamas bernilai RM210 juta dan Sukuk SRI Hijau ASEAN setahun bernilai RM90 juta menerusi program Nota Jangka Sederhana (MTN) Konvensional/Islam Cagamas bernilai RM60 bilion.
Terbitan MTN Hijau ASEAN oleh Cagamas adalah terbitan korporat pertama Malaysia berkaitan pinjaman dan pembiayaan aset hijau.
Aset hijau terdiri daripada hartanah kediaman hijau dan bangunan yang menggunakan pensijilan GreenRE1 dan Indeks Bangunan Hijau (GBI)2 sebagai kriteria kelayakan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Kevin Lam berkata, urus niaga aset hijau bukan sahaja mengukuhkan peranan utama bank dalam kewangan mampan tetapi juga menekankan komitmennya dalam menyampaikan nilai kepada pelanggan, pemegang saham dan alam sekitar.
"Permintaan yang semakin meningkat untuk pembiayaan aset hijau menyerlahkan keperluan segera dalam menangani kesan iklim dan kemampanan.
"Ia juga mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa amalan perniagaan yang mampan bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan tetapi juga penting untuk daya maju ekonomi jangka panjang dan penjagaan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim berkata, pembelian aset hijau itu bukan sahaja menyumbang secara positif kepada persekitaran kita tetapi juga mengukuhkan peranan dalam memudahkan kecairan dalam pasaran modal hijau.
Beliau berkata, langkah praktikal ini menggariskan usaha berterusan pihaknya sebagai perantara dalam pasaran sekunder, membantu menyokong inisiatif hijau yang diterajui industri untuk mencapai agenda kelestarian.
"Kerjasama dengan Hong Leong Bank memberikan sumbangan ketara ke arah membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia sambil melaksanakan misi teras kami dengan lancar," katanya. - DagangNews.com