Hong Leong Islamic Bank lancar program kewangan sosial baharu | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Islamic Bank lancar program kewangan sosial baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Hong Leong Islamic Bank (HLISB) melancarkan program kewangan sosial baharu HLB Jumpstart – Perniagaan Mikro sebagai sebahagian daripada tawaran pengantaraan berasaskan nilai (VBI).

 

Program itu akan menyediakan pembiayaan kepada individu yang mungkin tidak mempunyai peluang dan cara untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa atau kepada bakal usahawan yang tidak mempunyai sejarah kredit dan peluang untuk memulakan perniagaan kecil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HLSIB, Jasani Abdullah Menerusi berkata, inisiatif kewangan sosial baharu itu akan menyebarkan pembiayaan melalui dua rakan kongsinya iaitu MadCash dan AlfieTech selain menyediakan pembiayaan sifar keuntungan serta peluang modal untuk memulakan perniagaan, bimbingan dan latihan tentang cara mengurus perniagaan.

 

Matlamat utamanya adalah untuk membantu usahawan mikro yang kurang mendapat perkhidmatan termasuk pekerja ekonomi gig, suri rumah dan sebagainya bagi meningkatkan kehidupan mereka dengan memiliki sumber pendapatan yang mampan.

 

"Peserta boleh mendapatkan dua jenis pembiayaan permulaan untuk perniagaan seperti MadCash dengan peserta akan mendapat dana permulaan sebanyak RM4,000 bagi tempoh bayaran balik selama 12 bulan pada kadar sifar keuntungan.

 

"Selain itu, peserta juga akan diberikan mentor yang akan memberikan bimbingan dan berkongsi amalan terbaik untuk membina perniagaan yang berjaya dan mampan.

 

HLB
Jasani Abdullah 

 

"AlfieTech, sebaliknya, akan mengeluarkan sehingga RM1,500 setiap pemohon untuk digunakan sebagai kredit e-dagang untuk menjalankan perniagaan dengan membuat pesanan pada platform proprietari mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, kedua-dua MadCash dan AlfieTech mempunyai tujuan yang sama untuk memacu rangkuman kewangan di kalangan komuniti yang kurang mendapat tempat.

 

Katanya, MadCash ialah pembina ekosistem fintech patuh syariah dengan misi untuk memperkasakan usahawan mikro wanita untuk meningkatkan pendapatan dan kedudukan kredit mereka dengan menyediakan pembiayaan mikro dan memudahkan rangkuman kewangan digital.

 

AlfieTech ialah syarikat risikan data alternatif yang turut menawarkan pembiayaan mikro digital kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. - DagangNews.com