Hong Seng batal cadangan pengambilalihan Alliance EV, namun kekal fokus terhadap projek pembuatan bateri kenderaan elektrik | DagangNews Skip to main content

Hong Seng batal cadangan pengambilalihan Alliance EV, namun kekal fokus terhadap projek pembuatan bateri kenderaan elektrik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Hong Seng Consolidated Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan Alliance EV Sdn Bhd (AEV) dengan menamatkan perjanjian penjualan sahamnya (SSA).

 

Walaupun pernjanjian itu ditamatkan, namun Hong Seng masih berminat dengan revolusi elektrifikasi dengan memilih untuk memberi fokus pada projek pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV) yang dikenali sebagai Projek Volt dengan kerjasama EoCell Inc (USA).

 

Kumpulan itu pada 13 Februari 2023 mengumumkan hasratnya untuk mengambilalih AEV dengan tujuan mendapatkan tanah di Tanjung Malim seluas 22.2 hektar serta perniagaan EV AEV yang mungkin melengkapkan inisiatif Project Volt.

 

Pengambilalihan itu tertakluk kepada syarat-syarat SSA termasuk kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan oleh Hong Seng untuk menilai kesesuaian tanah di Tanjung Malim untuk tujuan Projek Volt.

 

Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lestin Chin berkata, penemuan utama kajian kebolehlaksanaan tanah mendedahkan bahawa tanah di Tanjung Malim terletak secara strategik dalam jarak dan kawasan kawasan perindustrian matang, bersebelahan dengan Proton City dan mudah diakses dengan jalan infrastruktur utama memberikan kelebihan utama untuk aktiviti perindustrian dan/atau pemasangan industri pembuatan.

 

“Tanah Tanjung Malim terletak sangat strategik, bagaimanapun, keadaan muka bumi sedia ada menghalang Hong Seng untuk melaksanakan Projek Volt dan Projek EV dalam saiz yang ideal dan rancangan pembangunan pengembangan masa depan kami. 

 

“Kumpulan itu membayangkan pembangunan hab pembuatan serantau di Malaysia, untuk mengeluarkan bateri untuk EV dan kemajuan kepada penyelesaian simpanan kuasa yang akhirnya akan dibekalkan kepada pengilang, pemasang, pengguna EV di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Lestin berkata, Hong Seng akan memastikan rancangannya dilaksanakan secara berhati-hati dengan mematuhi piawaian dan keperluan yang ketat untuk pembuatan bateri serta industri berkaitan walaupun akan mengambil masa yang lebih lama untuk menentukan tanah dan lokasi yang sesuai.

 

Memandangkan prospek global positif pasaran bateri EV global, yang diunjurkan mencecah AS$134.6bil menjelang 2027, kumpulan itu kekal komited untuk menjayakan Project Volt dengan sokongan yang amat diperlukan daripada kerajaan.

 

"Hong Seng menyasarkan untuk menjadi antara pengeluar bateri EV terbaik berdasarkan teknologi proprietari EoCell yang mencapai kejayaan yang mengganggu untuk bateri EV dalam anod berasaskan silikon dan elektrolit tidak mudah terbakar," katanya. - DagangNews.com