Hong Seng sepadukan sinergi pembuatan bateri, kenderaan elektrik (EV) menerusi pemerolehan Alliance EV dan kerjasama dengan EoCell | DagangNews Skip to main content

Hong Seng sepadukan sinergi pembuatan bateri, kenderaan elektrik (EV) menerusi pemerolehan Alliance EV dan kerjasama dengan EoCell

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) mengambil alih Alliance EV Sdn. Bhd. (AEV) iaitu cabang perniagaan kenderaan elektrik (EV) CSH Alliance Berhad bagi melengkapkan kerjasama terbaru kumpulan itu dengan EoCell Inc (USA) (EoCell) dalam bidang pembuatan bateri EV.

 

Hong Seng juga mengumumkan bahawa mereka telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan EoCell. 

 

Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua pihak bagi membina dan mewujudkan hab pembuatan serantau di Malaysia bagi mengeluarkan bateri EV dan seterusnya kepada penyelesaian storan kuasa lain untuk EV dan menjadi pembekal kepada pengilang, pemasang, serta pengguna EV di rantau Asia Tenggara (Projek Volt).

 

EoCell ialah pemain utama dalam sektor ini kerana keunggulan teknologinya dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan hubungan kerjasama pembuatan di Eropah dan Amerika untuk pasaran tempatan di sana. 

 

Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin berkata, dengan sumber sedia ada AEV dan Hong Seng menyasarkan untuk membangunkan kilang pembuatan EV terkini untuk menarik penggunaan EV yang semakin berkembang di Malaysia.

 

"Kami juga bercadang untuk menjadi pemasang berkontrak untuk jenama dan pemain EV lain demi membantu mereka memudahkan penyediaan pengeluaran CKD di Malaysia pada peringkat seterusnya.

 

"Pasaran EV di Malaysia masih dalam peringkat awal, dan ia dijangka berkembang dengan purata kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 27.6% sepanjang 2020-2025 menurut laporan 6Wresearch.

 

"Segmen pembuatan bateri EV dan pembuatan EV merupakan perniagaan yang sangat menguntungkan bagi Hong Seng dan kami akan memanfaatkan anjakan paradigma daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman bahan api fosil (ICE) kepada EV di Malaysia. 

 

"Sinergi daripada kedua-dua Projek Volt dan Projek EV akan memperkasakan Hong Seng untuk muncul sebagai pemain bersepadu dengan mendapatkan kedua-dua segmen “upstream” dan “downstream” dalam rantaian bekalan EV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hong Seng juga telah mengenal pasti tanah di Tanjung Malim milik AEV sebagai lokasi strategik untuk kilang pembuatan bateri. 

 

Tanah itu terletak secara strategik bersebelahan dengan Proton City yang menempatkan kilang pembuatan kereta terbesar di Malaysia dengan syarikat rantaian bekalan yang komprehensif di sekitar kawasan itu. 

 

Lebih penting lagi, pembangunan DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (“AHTV”) di Tanjung Malim akan mengubah Malaysia menjadi hab bagi pengeluar EV dan pembekal komponen, bukan sahaja untuk rantau ASEAN, juga kepada pasaran yang lebih luas dan oleh itu, Hong Seng akan dapat memanfaatkan infrastruktur, sumber, kepakaran dan bahan yang tersedia dengan segera untuk kedua-dua Projek Volt dan Projek EV.

 

“Hong Seng berazam untuk memainkan peranannya dalam mempromosikan pembangunan mampan. 

 

"Seperti yang kita ketahui, elektrifikasi akan memainkan peranan penting dalam transformasi industri mobiliti dan memberikan peluang besar dalam semua segmen kenderaan, walaupun kadar dan tahap perubahan akan berbeza," katanya. - DagangNews.com