Hospital Pakar Regency perkenal sistem angiografi dwisatah, hasilkan imej berkualiti dengan kadar radiasi minimum | DagangNews Skip to main content

Hospital Pakar Regency perkenal sistem angiografi dwisatah, hasilkan imej berkualiti dengan kadar radiasi minimum

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Hospital Pakar Regency (Regency) memperkenalkan sistem angiografi dwisatah (biplane) untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi dengan jumlah radiasi yang paling rendah. 


 
Angiografi adalah sejenis X-ray yang digunakan untuk memeriksa saluran darah bagi membolehkan doktor mengesan sebarang masalah. 

 

Sistem angiografi dwisatah itu mempunyai kelebihan berbanding angiogram dan prosedur lazim kerana ia dilengkapi dengan teknologi untuk memberikan ketepatan dalam proses diagnosis dan membimbing profesional penjagaan kesihatan dalam prosedur intervensi kardiologi dan radiologi. 
 

Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi Hospital Pakar Regency, Dr. Yeow Kee Min berkata, sistem angiografi dwisatah direka bentuk berasaskan teknologi yang memberikan hasil diagnostik intraoperasi jitu dan ia menghasilkan imej yang tepat semasa pembedahan. 

 

Katanya, alat itu menggunakan kombinasi dua pengesan berbeza yang terletak di dua kawasan berbeza, yang memberikan panduan yang lebih baik semasa rawatan dan dengan kelebihan itu, resolusi kontras tinggi boleh dihasilkan pada mana-mana sudut dan tidak mengira saiz pesakit.  
 

"Angiografi menggunakan radiasi pengionan dengan dos radiasi yang boleh menimbulkan bahaya jika dos terlalu tinggi. 

 

"Dengan sistem angiografi dwisatah ini, profesional penjagaan kesihatan boleh mendapatkan imej berkualiti tinggi menggunakan pengimejan 3D termaju dan visualisasi butiran seperti salur darah, peranti, tisu dan tulang tanpa memerlukan dos radiasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Angiografi dwisatah menyediakan teknologi untuk melakukan angiografi invasif minimum lebih pantas dan pada dos radiasi yang rendah kepada doktor dan pesakit berbanding alat angiografi konvensional. 

 

Teknologi itu juga mempunyai keupayaan untuk menambah baik hasil klinikal bukan sahaja untuk penyakit arteri koronari tetapi juga mampu merawat angin ahmar dan tumor dalam masa sebenar. - DagangNews.com