Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Ogos - HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) dengan kerjasama Asian Development Bank (ADB) memperuntukkan sebanyak AS$1.2b bagi membiayai program bekalan produk berkaitan COVID-19.
Jumlah tersebut diperuntukkan untuk setahun dalam perdagangan oleh syarikat-syarikat di peringkat Asia.
Ketua Perdagangan Global dan Kewangan Pinjaman HSBC, Natalie Blyth berkata, kerjasama tersebut telah mengenalpasti lebih daripada 10,000 pembekal barangan COVID-19 yang memerlukan bantuan dana berkenaan.
"Peruntukan dana yang disasarkan itu akan membantu proses penyediaan bekalan perubatan kritikal.
"Usaha ini juga seiring dengan kenyataan yang dibuat B20 Arab Saudi, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) mengenai kekurangan pembiayaan perdagangan antara AS$2 trilion hingga AS$5 trilion yang mampu menyekat kemampuan perdagangan untuk menyokong pemulihan ekonomi pasca COVID-19," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah HSBC lagi, di negara-negara membangun, kekurangan pembiayaan perdagangan dapat menghalang import barangan keperluan serta eksport produk utama yang menjana pendapatan.
Situasi tersebut secara tidak langsung mempengaruhi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (UMKM) yang mewakili sebahagian besar daripada pekerjaan di rantau Asia Pasifik.
"Perdagangan mempunyai peranan penting dalam mendepani cabaran COVID-19 serta pemulihannya di peringkat global.
"Kerjasama ini akan membantu memastikan kewangan perdagangan sampai ke tempat yang diperlukan, menyokong pengeluaran dan pengedaran semula bekalan perubatan penting serta membantu meningkatkan pertumbuhan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Program Kewangan Perdagangan dan Rantaian Bekalan ADB, Steve Beck memberitahu, kerjasama dengan HSBC itu sangat penting bagi menutup jurang pasaran serta memastikan pertumbuhan semula ekonomi global sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan demi kemajuan.
"Kerjasama ini akan melengkapkan usaha berterusan ADB untuk memastikan penawaran rantaian produk penting bagi memerangi COVID-19 serta menyokong aliran perdagangan yang akan membantu mempercepatkan proses pemulihan," katanya. - DagangNews.com