HSBC lancar pembukaan akaun digital layan diri 24 jam | DagangNews Skip to main content

HSBC lancar pembukaan akaun digital layan diri 24 jam

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) terus mengorak langkah sebagai institusi perbankan pertama di Malaysia yang melancarkan pembukaan Mesin Layan Diri akaun digital, beroperasi 24 jam bagi proses pengenalan dan pengesahan. 

Pembukaan perkhidmatan itu adalah seiring dengan langkah penjarakan sosial yang diterapkan dalam kebiasaan baharu akibat penularan COVID-19. 

Ketua Negara Harta dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Tara Latini berkata, ciri digital perkhidmatan bank berkenaan sentiasa dikemas kini bagi menawarkan pengalaman perbankan terbaik buat pelanggan. 

Tara Latini
Tara Latini

“Memandangkan pemilihan pelanggan terus berubah, kami akan berterusan menambah baik produk serta perkhidmatan untuk mengukuhkan hubungan bank dengan mereka.

“Pelancaran perkhidmatan akaun dalam talian dan QR DuitNow (dilancarkan baru-baru ini) sebahagian daripada visi masa depan perbankan kami - pelbagai pendekatan untuk ditawarkan kepada pelanggan dengan perkhidmatan digital terbaik,” kata beliau menerusi sebuah kenyataan hari ini.

HSBC memperkenalkan perkhidmatan digital itu bagi memudahkan proses pembukaan akaun baharu dalam kalangan pengguna yang dapat dilakukan di rumah serta mengikut kesesuaian masa masing-masing.

Dalam pada itu, pembukaan akaun baharu digital dapat dilakukan dengan tiga langkah mudah menerusi laman sesawang HSBC Malaysia. 

Langkah pertama :-

Layari laman sesawang HSBC Malaysia dan lengkapkan borang permohonan dalam talian.

Langkah kedua :-

Lawati mana-mana cawangan HSBC atau Mesin Layan Diri 24 jam yang terdapat di cawangan terpilih untuk lengkapkan proses pengenalan dan pengesahan.

Langkah ketiga :-

Setelah akaun berjaya dibuka, pelanggan akan disediakan dengan nombor akaun di cawangan HSBC atau skrin pengesahan yang terpapar di Mesin Layan Diri. 

Kad debit akan dihantar ke alamat pilihan pengguna. Aktifkan kad debit dan daftar perbankan dalam talian.

Sementara itu, pelanggan HSBC juga boleh memanfaatkan akaun digital terbabit untuk membuka Akaun Harian Global atau Everyday Global Account (EGA), iaitu sebuah akaun bank pelbagai mata wang, digunakan untuk aktiviti membeli, memindah wang atau simpanan ke dalam 11 mata wang asing. 

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh dirujuk menerusi talian 1300-88-1388 atau laman sesawang www.hsbc.com.my/accounts/digital-account-opening/. - DagangNews.com