HSR boleh diteruskan selagi tidak dibiayai oleh kerajaan, kata Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

HSR boleh diteruskan selagi tidak dibiayai oleh kerajaan, kata Anthony Loke

KUALA LUMPUR 8 Mac - Malaysia terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selagi ia tidak dibayai oleh kerajaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

Beliau berkata, seperti yang pernah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada pihak swasta untuk meneruskan projek mega itu.

 

"Kami tidak menghalangnya. Perdana Menteri telah memberi saya arahan bahawa kita boleh berbincang mengenainya. Kami terbuka kepada sebarang cadangan daripada pihak swasta selagi tidak dibiayai oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas berucap di Invest Malaysia 2023, lapor Bernama.

 

Bagaimanapun, setakat ini, Loke berkata kerajaan masih belum menerima sebarang cadangan khusus atau lengkap daripada pihak swasta dan tiada garis masa untuk menyiapkan projek itu kerana perjanjian itu telah dibatalkan oleh pentadbiran terdahulu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

"Tiada keperluan mendesak dari segi mencapai apa-apa kejayaan jadi sekarang ini kita terbuka kepada mekanisme pembiayaan baharu dan pelaksanaan yang lengkap," katanya.

 

loke
Anthony Loke

 

Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.

 

Projek yang membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.

 

Mengenai cadangan pembinaan pelabuhan di Pulau Carey pula, Loke berkata, pembangunan pelabuhan ketiga di Pelabuhan Klang itu dijangka tidak menjejaskan persaingan pelabuhan sedia ada di situ.

 

Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sudah membuat kajian selama dua tahun sejak 2019 mengenai cadangan pembinaan pelabuhan ketiga itu dan laporan menunjukkan bahawa ia boleh dilaksanakan selain amat sesuai dijadikan pelabuhan ketiga di Selangor.

 

Katanya, pembangunan pelabuhan Pulau Carey dijangka mengambil masa panjang iaitu untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang dengan fasa pertama pembinaan adalah untuk kegunaan kargo konvensional. - DagangNews.com