KUALA LUMPUR 13 Feb - HSS Engineers Berhad menerusi syarikat bersekutunya, SMHB Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kontrak dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd. bagi menyediakan perkhidmatan kejuruteraan sambungan jangka hayat Stesen Hidro Elektrik Sungai Perak bernilai RM22.94 juta.
Menerusi kontrak itu, TNB Power Generation melantik Konsortium SMHB, AFRY Switzerland Ltd, dan AFRY Malaysia Sdn. Bhd. (yang dikenali sebagai Konsortium AFRY-SMHB) untuk kerja-kerja berkenaan sepanjang tempoh 96 bulan bermula Januari 2023.
"Skop perkhidmatan SMHB di bawah perkhidmatan adalah untuk menyemak dokumentasi kontraktor dan menyediakan penyeliaan pembinaan.
"Selaras dengan susunan gabungan eksklusif antara SMHB dan SMHB Engineering Sdn. Bhd. (SMHBE), anak syarikat milik penuh HEB, SMHB dan SMHBE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyiapkan kontrak berkenaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan ia tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham atau struktur pegangan saham HEB.
Perkhidmatan dijangka akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman luar.
Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak itu termasuk tetapi tidak terhad kepada risiko pelaksanaan, seperti pergantungan pada jadual pelaksanaan serta kemajuan perkhidmatan tersebut memandangkan peranan SMHB seperti yang diterangkan.
Lembaga pengarah percaya bahawa kumpulan itu mampu mengurangkan faktor risiko seperti yang dinyatakan. - DagangNews.com