i-Connect Fintech dalam kewangan Islam dilancarkan | DagangNews Skip to main content

i-Connect Fintech dalam kewangan Islam dilancarkan

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) telah dilantik sebagai Entiti Neutral bagi i-Connect oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. 

 

Sehubungan itu,INCEIF diberi tanggungjawab untuk memacu 17 agensi pengasas yang mewakili industri, ahli akademik, pihak kerajaan dan swasta.

 

Ia berperanan memupuk bakat-bakat baru, memangkin inovasi dan membangunkan inovasi tempatan bernilai tinggi sebagai sumbangan di dalam industri teknologi kewangan Islam bukan sahaja di Malaysia malah di arena antarabangsa. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof Datuk Dr Azmi Omar berkata, dengan usaha dan kerjasama ini, konsortium yang ditubuhkan dapat membina sebuah ekosistem inovasi yang hebat bagi membangunkan produk tempatan dengan nilai inovasi tinggi.

 

"Ia juga dapat menjadi pemangkin kepada teknologi R&D serta perniagaan melalui inovasi berasaskan ilmu,” katanya yang juga merupakan salah seorang ahli pelopor i-Connect dalam kenyataan hari ini.

 

Program i-Connect Fintech dalam Kewangan Islam telah dilancarkan baru-baru ini untuk membina dan memupuk sebuah ekosistem yang kondusif dan menyediakan dana bagi menyokong dan memperkasa inovasi di dalam industri teknologi kewangan Islam di Malaysia. 

 

Inisiatif ini membolehkan Malaysia memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi baru dalam inovasi disruptif  justeru, sebagai asas terbaik dalam persediaan menjadikan Malaysia muncul hab teknologi kewangan Islam global. 

 

Menerusi agenda i-Connect, sebuah dana ditubuhkan untuk memupuk inovasi di dalam industri teknologi kewangan Islam dengan 2 fokus utama iaitu, Pembiayaan Sosial dan Solusi Pintar dan Digitalisasi Pembiayaan Kewangan Patuh Syariah. 

 

Sementara itu, Pengarah kepada ahli-ahli pengasas i-Connect dan Pengarah Urusan Ethis Group, Umar Munshi berkata, dengan melancarkan dana kajian dan menubuhkan rangkaian kerjasama, pihak konsortium dan ahli-ahli pelopor ingin meningkatkan lagi kapasiti inovasi di dalam teknologi kewangan Islam di Malaysia.

 

"Langkah ini dapat memacu pengeluaran penyelesaian baharu ke dalam pasaran yang dapat membawa impak positif dari pelbagai segi terutamanya sosial dan kewangan," katanya. - DagangNews.com