KUALA LUMPUR 8 Mac - Icon Offshore Berhad sedang mencari beberapa perniagaan baharu bagi menggantikan kerugian kumpulan daripada operasi penggerudian.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, untuk layak, unit perniagaan baharu perlu menawarkan aliran tunai yang stabil yang sama atau lebih tinggi daripada operasi penggerudian dan pada penilaian yang munasabah.
Firma memahami bahawa perjanjian yang dijadualkan telah dilanjutkan melepasi suku pertama 2023.
"Sekiranya perjanjian tidak dibuat dalam tempoh 12 bulan akan datang, kumpulan itu boleh menjadi saham pembayaran dividen buat sementara waktu
"Kami menjangkakan, kumpulan itu akan menjana pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM100 juta setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk melaksanakan usaha pengurangan modal dan latihan penyatuan saham bagi menghapuskan kerugian terkumpul selain memudahkan pengisytiharan dividen pada masa hadapan.
Firma itu berkata, usaha itu juga melibatkan penyatuan lima saham kepada satu (daripada 2.7 bilion saham kepada 541.3 juta saham) bagi meningkatkan struktur modalnya selain mengurangkan turun naik dalam dagangan saham.
"Langkah yang akan diambil itu dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023," katanya.
Firma itu menjangkakan kumpulan itu akan mencatatkan prestasi pendapatan lebih baik pada FY23 walaupun tiada sumbangan operasi penggerudiannya.
Katanya, kekuatan kumpulan disokong oleh prestasi operasi yang lebih baik di bahagian kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV) kadar sewaan harian yang lebih tinggi.
"Langkah mengoptimumkan kos berterusan termasuk pelupusan OSV yang lama dan terbiar akan memacu lagi keuntugnan kumpulan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 12 sen sesaham. - DagangNews.com