IHH Healthcare diunjur catat pertumbuhan hasil positif pada FY24 didorong peningkatan kadar penghunian katil | DagangNews Skip to main content

IHH Healthcare diunjur catat pertumbuhan hasil positif pada FY24 didorong peningkatan kadar penghunian katil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kenanga Research mengunjurkan IHH Healthcare Bhd catat pertumbuhan hasil positif pada FY24 didorong oleh perkembangan hasil bagi setiap pesakit dalam dan peningkatan kadar penghunian katil di seluruh hospital miliknya di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye.

 

Katanya, hasil bagi setiap pesakit dalam diunjur mencatatkan pertumbuhan sehingga 16%, pertumbuhan daya pengeluaran pesakit dalam antara 9% hingga 12%  dan kadar penghunian katil sehingga 73% mengatasi anggaran 65% pada 2023.

 

"Pertumbuhan ini berikutan kesan asas yang rendah pada 2022, dengan jangkaan mempercepatkan momentum pendapatan disokong oleh intensiti hasil dan permintaan yang meningkat pada separuh kedua tahun fiscal.

 

"Kami menyukai IHH kerana kuasa penetapan harganya untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta membolehkan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta seperti mereka meneruskan kos yang lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan inflasi selain kehadirannya dalam pelbagai pasaran, iaitu Malaysia, Singapura, Turkiye dan China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keputusan 1QFY24 IHH memenuhi jangkaan dengan keuntungan bersih teras meningkat 22% didorong cukai yang lebih rendah. 

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut 2% walaupun pertumbuhan 16% dalam hasil menunjukkan bahawa kenaikan harga telah mengatasi inflasi kos. 

 

Kumpulan itu menjangkakan daya pengeluaran pesakit yang kukuh di Turkiye, Singapura dan Malaysia selepas musim perayaan pada 1QFY24.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, tinjauan pasaran mengunjurkan pasaran farmaseutikal ubat di kaunter (OTC) di Malaysia berkembang pada CAGR sebanyak 6% kepada anggaran AS$715 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027.

 

Katanya, ia didorong sikap pengguna yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka (termasuk mengambil makanan tambahan asas secara berkala), terutama selepas pandemik COVID-19.

 

"Trend ini memberi gambaran baik untuk Kotra Industries Bhd yang mengeluarkan dan menjual makanan tambahan OTC serta produk pemakanan dan farmaseutikal di bawah jenama isi rumah utama seperti Appeton, Axcel dan Vaxcel.

 

"Kami juga menyukai Kotra kerana model perniagaan bersepadunya yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada R&D, konsep produk kepada pembuatan dan jualan serta margin unggul model perniagaan pembuatan jenama (OBM) asalnya," katanya. - DagangNews.com