Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan penurunan 1.3% pada Julai 2020 kepada 119.9 berbanding 121.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.3%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6%), pakaian dan kasut (-0.1%) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1%) yang menyumbang 45.7% daripada keseluruhan wajaran.
"Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4% kepada 135.0 berbanding 133.2 pada bulan sama tahun 2019.
"Kumpulan ini menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP," jelasnya dalam satu kenyataan berkaitan IHP bagi bulan Julai 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Tambahnya lagi, barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.9% diikuti komunikasi (1.6%), kesihatan (1.1%) dan pendidikan (1.2%).
Namun, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2% pada Julai berbanding Jun 2020.
IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.
Jelas beliau, indeks teras pula meningkat 1.1% pada Julai 2020 berbanding bulan sama pada 2019.
"Antara kumpulan utama yang mendorong kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.9%), komunikasi (1.9%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.4%).
"Indeks teras ini meliputi barangan tidak termasuk barangan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal," katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Mohd. Uzir memberitahu, meskipun IHP tahunan menurun, namun perubahan IHP bulanan meningkat 0.7% berbanding bulan sebelumnya pada 2020.
Peningkatan bulanan itu disumbangkan oleh pengangkutan (4.9%), pendidikan (0.4%), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3%), pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.3%), manakala makanan dan minuman bukan alkohol, (0.1%), minuman alkohol dan tembakau serta kesihatan masing-masing meningkat 0.1%.
"IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 menurun 0.9% berbanding tempoh sama pada 2019. Indeks bagi semua negeri juga menurun antara -0.7% hingga -2.2% bagi Julai 2020.
"Namun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3%), Perak (1.7%), Pahang (1.7%), Terengganu (1.7%) dan Johor (1.6%). Manakala Negeri Sembilan turut mencatatkan kenaikan sama dengan paras nasional iaitu 1.4%," tambahnya lagi. - DagangNews.com