IJM Corporation dijangka menjadi antara pilihan utama raih pakej projek MRT3 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

IJM Corporation dijangka menjadi antara pilihan utama raih pakej projek MRT3 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - MIDF Research menjangkakan IJM Corporation Berhad menjadi antara pilihan utama untuk meraih pakej CMC301 atau CMC302 bagi projek MRT3 yang akan datang.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki dalam projek pembinaan rel, kumpulan itu berpotesi untuk meraih projek mencecah RM2.79 bilion dan RM13.94 bilion. 

 

Katanya, keputusan mengenainya dijangka diumumkan pada penghujung 2022 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

"Kami yakin kumpulan ini akan mengekalkan momentum pendapatan pada masa akan datang IJM merupakan antara pilihan utama kami dalam sektor pembinaan.

 

"Dengan kedudukan tunai bersih dianggarkan kira-kira RM327 juta, kunci kira-kira kumpulan kekal kukuh untuk melaksanakan projek infrastruktur mega yang mungkin memerlukan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) atau kerjasama kerajaan dan swasta (PPP)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: IJM raih 2 kontrak di Kapar dan Shah Alam berjumlah RM982 juta

 

Kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) meraih dua kontrak di Kapar dan Shah Alam minggu ini, berjumlah RM982 juta.

 

IJMC memperoleh kontrak pembinaan reka bentuk dan bina pasang siap (turnkey) bernilai RM831 juta untuk hospital baharu kerajaan dengan 312 katil di Kapar daripada Kementerian Kerja Raya.

 

Selain itu, IJMC juga meraih kontrak bagi pembinaan menara pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Shah Alam, bernilai RM150.8 juta.

 

Kedua-dua kontrak baharu itu menambah RM649.4 juta kepada projek tertunggak IJM yang kini berada pada paras RM4.59 bilion dan akan memberikan pendapatan kukuh sehingga FY24.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan untuk FY23 dan FY24 kerana kejayaan meraih projek itu adalah selaras dengan jangkaan mereka.

 

"Projek Hospital Kapar memberi satu lagi kelebihan kepada IJM dalam membangunkan projek penjagaan kesihatan.

 

"Sebelum ini mereka terlibat dengan pembinaan Institut Kanser Negara di Putrajaya, Hospital Putrajaya dan Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.18 sesaham. - DagangNews.com