KUALA LUMPUR 18 April - Platform gaya hidup patuh syariah di bawah Capital A iaitu IKHLAS menjalin kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan di seluruh negara untuk menyampaikan bantuan bakul barangan keperluan dan makanan untuk berbuka puasa.
Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata, program tersebut yang dinamakan 'Infaq Ramadan' menggunakan dana IKHLAS Sadaqah iaitu hasil sumbangan orang ramai yang mengejar keberkatan/ganjaran 1,000 bulan sempena Ramadan.
Beliau berkata, aktiviti tersebut dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan dengan dana sebanyak RM300,000 telah dibelanjakan bagi tujuan membantu golongan asnaf, terutamanya.
Antara agensi kerajaan yang terlibat di dalam program Sadaqah ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri-negeri, Baitulmal,
DBKL, PPR, Pusat Tahfiz dan rumah-rumah anak yatim.
"Kita menjalin kerjasama dengan badan-badan atau individu yang bersedia menjadi sukarelawan untuk menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasaran.
"IKHLAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program kebajikan ini," kata beliau kepada DagangNews.com di sini hari ini.
DagangNews bersama laman komuniti facebook, HotDTaiping diwakili Safwan Noor turut serta di dalam program ini, dengan mengagih-agihkan barangan makanan dan juadah berbuka kepada beberapa sekolah tahfiz dan anak yatim di sekitar daerah Taiping.
Menurut Safwan, dana yang disalurkan oleh Ikhlas telah digunakan bagi menyediakan bantuan barangan dan juadah iftar di Tahfiz Maahad Darul Islah di Kampung Boyan Taiping; Madrasah Nur Kaseh, Ulu Sepetang dan rumah anak yatim Nur Kaseh Ulu Sepetang. - DagangNews.com