Implikasi kos RM1 juta sebulan, Melaka tangguh buka pusat kuarantin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Implikasi kos RM1 juta sebulan, Melaka tangguh buka pusat kuarantin COVID-19

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Cadangan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu di Melaka terpaksa ditangguhkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penangguhan itu dibuat kerana implikasi kos bulanan yang tinggi.

 

"Mengikut penilaian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pembukaan PKRC baharu menyebabkan implikasi kos yang tinggi iaitu RM1 juta sebulan.

 

"Alasan lain NADMA adalah kerana PKRC yang sedia ada di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang masih mempunyai 6,000 kekosongan dan boleh dipertimbangkan.

 

"Bagaimanapun, sekiranya berlaku (keperluan), kita buat pindaan memilih Dewan Tun Ali (sebagai PKRC) yang mempunyai kapasiti lebih 500 katil berbanding Dewan Bestari di Ayer Keroh yang hanya memuatkan 200 hingga 250 katil," jelasnya seperti dilapor Melaka Hari Ini.

 

Terdahulu, kesemua pesakit COVID-19 di Melaka diarah untuk dihantar ke MAEPS susulan Hospital Melaka tidak mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi.

 

 Rahmad Mariman
 Rahmad Mariman

 

Bagaimanapun, kerajaan negeri Melaka bersedia untuk membuka empat PKRC awam sebagai langkah persediaan bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

 

Empat lokasi yang dicadangkan ialah Dewan Tun Ali di Bukit Katil; Dewan Bestari di Ayer Keroh; Dewan Citra Kasih di Bemban, Jasin dan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). - DagangNews.com