Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 22 Sept. – Gelombang varian Delta yang melanda Malaysia, Vietnam, Filipina dan Thailand pada suku lepas telah merencatkan pemulihan ekonomi negara-negara berkenaan untuk tahun 2021 namun pemulihan ketara alan dapat dilihat pada 2022 selepas kadar vaksinasi meningkat dan sekatan ditarik balik.
Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) berkata, ekonomi negara-negara Asia menunjukkan kepelbagaian dalam membendung varian Delta disebabkan oleh kadar vaksinasi serta sekatan dan penjarakan sosial yang berbeza.
“Sebagai contoh, Singapura, Hong Kong dan China merekodkan jumlaah kes yang lebih rendah biarpun terdapat kes-kes melibatkan varian Delta yang telah menyebabkan sekatan yang lebih ketat pada suku ketiga tahun ini.
“Bagaimanapun kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang meningkat bagi negara-negara berkenaan dipacu oleh kadar vaksinasi yang tinggi dan kejayaannya dalam menjalankan sekatan secara bersasar,” katanya dalam laporan bertajuk Global Economic Forecast Report.
Laporan tersebut dikeluarkan oleh ICAEW bersama Oxford Economics.
Menurut laporan itu lagi, ekonomi beberapa negara dijangka menguncup pada suku ketiga tahun ini, tetapi prospek rantau ini pada 2022 dilihat lebih positif.
Sementara itu Pengarah Urusan ICAEW International, Mark Billington berkata varian Delta telah melemahkan proses pemulihan bagi kebanyakan ekonomi Asia Tenggara dan realiti hidup dengan COVID-19 kerana endemik terbukti kompleks.
"Bukan sahaja kerajaan perlu melaksanakan sekatan dan langkah yang sesuai untuk membendung penyebaran varian virus ini, tetapi mereka juga perlu mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi untuk mencapai imuniti sekaligus meningkatkan prospek pertumbuhan mereka,” katanya.
Di seluruh dunia, banyak negara menyaksikan permulaan yang lemah untuk tahun ini, dengan peningkatan jangkitan dan sekatan yang lebih ketat.
Secara keseluruhan, ICAEW menjangkakan ekonomi global berkembang sekitar 5.8% pada 2021 dan 4.7% pada 2022. -DagangNews.com