Indeks Harga Pengeluar menurun 4.6% pada Mei 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar menurun 4.6% pada Mei 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IPHR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang mencatatkan penurunan -4.6% pada Mei 2023 berbanding -3% pada April 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun sebanyak -0.4%, selepas peningkatan 0.2% pada bulan sebelumnya.

 

Katanya, sektor perlombongan turun -2.5%, disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan petroleum mentah (-2.4%) dan pengekstrakan gas asli (-2.7%).

 

"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turun -0.7%, dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan -2.3%. 

 

"Sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan -0.2% pada Mei 2023, disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-1.2%) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-0.6%). Di samping itu, indeks bekalan air turun -0.1%, manakala indeks bekalan elektrik dan gas naik 0.6%," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut DOSM, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan terus mencatatkan penurunan negatif 27.2% pada Mei 2023 berbanding 26% pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh indeks buah tandan segar kelapa sawit yang terus jatuh kepada -42.4% berbanding -40.3% pada April 2023.

 

Katanya, sektor perlombongan juga mencatatkan penurunan dua angka sebanyak -10.7% berbanding 4.7% pada April 2023, dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah turun -18.1%. 

 

 

dosm

 

 

"Selain itu, sektor pembuatan turn marginal kepada -1.1% berbanding 0.1% pada April 2023. Ini disebabkan oleh penurunan yang signifikan dalam indeks pembuatan produk makanan -9.6% dan dimbangi dengan kenaikan dalam indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 6.6%. 

 

"Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing naik 3% dan 1.2%," katanya.

 

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus turun kepada -20.1% pada Mei 2023 berbanding -17.6% pada April 2023 dengan indeks bahan bukan makanan turun -24.2%. 

 

Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menurun sebanyak -1.6% disebabkan oleh penurunan dalam indeks bahan dan komponen untuk pembuatan (-6.2%) dan bekas (-3.7%). 

 

Sementara itu DOSM berkata, indeks barang siap naik 3% disumbangkan oleh peningkatan kelengkapan modal (3.8%) dan barangan pengguna siap (2%).

 

"Semua peringkat pemprosesan telah merekodkan penurunan pada asas bulanan, yang mana bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun sebanyak -0.9%, bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.4%) dan barangan siap (-0.2%)," katanya. - DagangNews.com