KUALA LUMPUR 3 Mac - Indeks Hartanah Kuala Lumpur mencatatkan penurunan pada 2021 sebanyak 4.22% mengatasi KLCI yang merekodkan penurunan 3.67% akibat prospek syarikat hartanah yang tidak menentu pada tahun itu akibat pandemik COVID-19.
MIDF Research berkata, antara syarikat hartanah yang mencatatkan prestasi buruk pada tahun itu termasuk Meridian Berhad yang mencatatkan penurunan sebanyak 84.7% manakala Jiankun International Berhad dengan 61.5% dan Acme Holdings Berhad dengan penurunan sebanyak 61.3%.
"Bagaimanapun, Indeks Hartanah Kuala Lumpur kembali mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8% dalam tempoh dua bulan pertama 2022 dengan prospek pendapatan syarikat hartanah semakin menunjukkan pemulihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, menurut data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah pinjaman perumahan yang dimohon meningkat kepada RM441 bilion pada 2021 berbanding RM334.8 juta pada 2020 dan penurunan sebanyak 6.3% pada tahun itu berpunca daripada impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pemulihan permohonan pembelian hartanah pada 2021 memberi gambaran bahawa sektor itu sedang mencatatkan pemulihan didorong oleh Kempen Pemilikan Rumah oleh kerajaan.
"Dalam pada itu, permohonan pinjaman pada Januari 2022 semakin stabil dengan RM34.6 bilion atau peningkatan sebanyak 5.4% dengan minat pembeli semakin meningkatan selepas ketiadaan perintah kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar pertukaran daripada tempahan kepada jualan sangat mencabar akibat syarat yang ditetapkan bank sangat ketat.
Katanya, peratusan kelulusan berbanding permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah kekal pada paras 35% untuk tahun 2020 dan 2021.
"Kami menjangkakan kadar pertukaran itu akan kekal menjadi cabaran untuk pemaju hartanah untuk jangka pendek," katanya.
Sementara itu, MIDF Research kekal neutral terhadap sektor hartanah namun menjangkakan keadaan akan bertambah baik pada 2022 selepas kativiti pembinaan di tapak pojek dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan prospek penjualan hartanah baharu juga akan bergerak positif akibat peningkatan minat pembeli didorong Kempen Pemilikan Rumah oleh kerajaan namun kadar pertukaran tempahan kepada penjualan akan terus menjadi cabaran. - DagangNews.com