Indeks Pengeluaran Perindustrian Disember 2020 berkembang 1.7% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Disember 2020 berkembang 1.7%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang positif iaitu 1.7% pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Statistik itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Indeks Pengeluaran Perindustrian, Malaysia Disember 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP pada bulan Disember 2020 dipacu oleh indeks Pembuatan sebanyak 4.1%.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Sementara itu, indeks Perlombongan dan Elektrik masing-masing jatuh 5.4% dan 0.2%.   

 

“Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.1% pada bulan Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0% pada bulan November 2020. 

 

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (8.4%), Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (7.7%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (7.6%),” katanya dalam laporan berkenaan.

 

Dalam pada itu, output sektor perlombongan menguncup 5.4% pada bulan Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Jelas Mohd. Uzir, kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks Minyak Mentah & Kondensat (-9.0%) serta indeks Gas Asli (-2.5%).

 

 “Output sektor Elektrik menurun sedikit 0.2% pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

“IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3% berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perlombongan (-10.5%) dan Elektrik (-0.6%). Sementara itu, sektor pembuatan merekodkan peningkatan 2.8%,” ujarnya lanjut.

 

Tambahnya, IPP bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan 4.2% berbanding dengan tahun sebelumnya. 

 

Penguncupan itu dipengaruhi oleh semua indeks; indeks Perlombongan (-9.7%), indeks Elektrik (-3.7%) dan indeks Pembuatan (-2.7%), kata beliau. - DagangNews.com