KUALA LUMPUR 9 Ogos - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia merekodkan pertumbuhan positif
1.4% pada Jun 2021 dan melonjak 22.6% pada suku kedua 2021, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP ini disokong oleh pengembangan 10.3% dalam indeks Perlombongan.
Katanya, indeks pembuatan dan elektrik pula masing-masing menyusut 0.2% dan 4.8%.
"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 0.2% pada Jun 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 29.8% pada Mei 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Subsektor yang menjadi penyumbang utama kepada sektor pembuatan pada Jun adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (19%), peralatan elektrik dan elektronik (8.4%) dan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (-14.5%).
Industri berorientasikan eksport memacu kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 8.7% manakala industri berorientasikan domestik menyusut 20.8%.
Output sektor perlombongan tumbuh 10.3% pada Jun berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Kenaikan tersebut disebabkan oleh peningkatan dalam indeks gas asli (13.4%) dan indeks minyak mentah dan kondensat (6.3%).
Sementara itu, output sektor elektrik merosot 4.8% pada Jun 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd. Uzir berkata, IPP bagi suku kedua 2021 melonjak 22.6% dipacu oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 26.3%, 15.1% dan 8.6%.
Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, IPP merekodkan pengembangan 12.4% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen iaitu indeks pembuatan (15.7%), indeks perlombongan (4.5%) dan indeks elektrik (4.0%). - DagangNews.com