Indeks Pengeluaran Perindustrian September naik 1.0% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian September naik 1.0%

Indeks Pengeluaran Perindustrian

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan peningkatan sebanyak 1.0% pada bulan September 2020 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan IPP pada September dipacu oleh pertumbuhan positif 4.3% dalam indeks pembuatan.

"Indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing mencatatkan penurunan 9.6% dan 2.1%.

"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.3% pada bulan September 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.2% pada bulan Ogos 2020.

"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan September 2020 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (9.8%), makanan, minuman & tembakau (4.9%) dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (3.2%)," katanya dalam laporan IPP September 2020 yang dikeluarkan oleh DOSM hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, output sektor perlombongan menguncup 9.6% pada bulan September 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.7%) serta indeks gas asli (-9.5%).

Output bagi sektor elektrik turut menunjukkan penguncupan sebanyak 2.1% pada bulan tersebut berbanding bulan sama pada tahun 2019.

Bagaimanapun, IPP bagi suku tahun ketiga 2020 merekodkan pertumbuhan 0.8% berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ujar beliau, peningkatan tersebut disumbang oleh kenaikan sebanyak 3.1% dalam indeks pembuatan.

"Walau bagaimanapun, indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing merekodkan penguncupan 6.5% dan 2.8%," tambah beliau lagi. - DagangNews.com