Indeks sentimen lebih tinggi menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan PKS - SME Bank | DagangNews Skip to main content

Indeks sentimen lebih tinggi menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan PKS - SME Bank

KUALA LUMPUR 3 Julai - Indeks sentimen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertambah baik, meningkat kepada 54.7 pada separuh pertama 2024 daripada 53.5 pada separuh kedua 2023.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, anjakan positif itu didorong jangkaan ekonomi, aliran tunai lebih baik dan penampan mudah tunai yang lebih kukuh dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

"Keputusan ini mencerminkan keyakinan, daya tahan dan kebolehsuaian PKS ketika mereka mengharungi pemulihan ekonomi Malaysia yang stabil," katanya dalam satu kenyataan.

 

Aria Putera berkata, aliran peningkatan itu sejajar dengan usaha kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani yang bertujuan merancakkan ekonomi negara dengan memupuk aspek pertumbuhan inklusif dan mampan.

 

“Peningkatan sentimen dalam kalangan PMKS ini jelas menekankan kepentingan kritikal mereka dalam usaha pemulihan ekonomi ini dan memaparkan keupayaan untuk menyesuaikan diri serta berkembang dalam persekitaran perniagaan yang dinamik.

 

“Dalam usaha kita untuk terus menyokong PMKS, prospek mereka yang lebih positif itu juga penting dalam memacu Malaysia ke arah masa depan lebih mantap dan berdaya tahan,” katanya.

 

Ketua Ekonomi SME Bank Lynette Lee Li Qing berkata, sentimen itu konsisten dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 4% ingga 5%pada 2024, meningkat daripada 3.6% pada 2023.

 

“Ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 4.2% tahun ke tahun pada suku pertama 2024, melepasi pertumbuhan 2.9% yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

 

"Petunjuk lain, seperti indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan statistik kecenderungan perniagaan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, juga menunjukkan pengembangan ekonomi yang mampan.

 

"Bagaimanapun, PMKS berdepan cabaran berterusan dari segi keuntungan, keputusan pekerjaan dan inisiatif pengembangan di tengah-tengah persekitaran kos tinggi," katanya.

 

SME Bank berkata, tinjauan indeks, yang dijalankan pada separuh pertama 2024, mengumpul pandangan daripada 1,295 peserta di semua negeri di Malaysia, mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan.- DagangNews.com