KUALA LUMPUR 7 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan berlaku kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dalam masa terdekat kerana Indonesia telah menggantung beberapa permit eksport minyak sawit yang mengehadkan eksport komoditi itu.
Firma itu berkata, Indonesia juga menaikkan mandat biodiesel kepada 35% pada Februari 2023 daripada 30% sebelumnya.
Katanya, bekalan minyak sawit yang ketat di Indonesia telah menaikkan harga MSM domestik di negara itu kepada RM3,852 bagi setiap tan pada masa ini, yang membantu meningkatkan daya saing eksport minyak sawit Malaysia berbanding negara itu.
Firma itu berkata, harga purata MSM bagi tempoh dua bulan 2023 daripada RM3,915 bagi setiap tan jatuh sebanyak 31% secara meluas selaras dengan ramalan harga firma sebanyak RM3,800 untuk satu tan pada tahun ini.
"Kami menjangkakan harga MSM didagangkan antara RM3,800 hingga RM4,300 bagi setiap tan pada Mac 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, banjir di Johor berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap pengeluaran minyak sawit pada Mac ini kerana negeri itu menghasilkan sekitar 16% dari jumlah keseluruhan minyak sawit Malaysia pada tahun 2022.
Katanya, terdapat kebimbangan bahawa tanaman kacang soya dari Argentina mungkin lebih rendah daripada yang dijangkakan kerana cuaca kering.
"Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa kenaikan harga MSM dapat dihadkan oleh bekalan minyak sawit yang lebih baik pada akhir suku kedua dengan pelonggaran kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pekerja asing bagi sektor perladangan pada 17 Januari 2023," katamya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap syarikat yang terlibat dalam sektor itu yang tidak mempunyai pemangkin tetapi disokong oleh hasil dividen yang baik sebanyak 3%. - DagangNews.com