Indonesia pilih pesawat terpakai, jet Mirage 2000-5 berusia 26 tahun jadi aset baharu tentera udara | DagangNews Skip to main content

Indonesia pilih pesawat terpakai, jet Mirage 2000-5 berusia 26 tahun jadi aset baharu tentera udara

Delegasi tentera udara Indonesia bersama pesawat Mirage 2000-5 milik Qatar.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Jun - Negara jiran Indonesia memutuskan untuk memperoleh 12 pesawat tempur terpakai jenis Dassault Mirage 2000-5 kepunyaan Qatar bagi mengimbangi kekuatan tentera udaranya.

 

Penghantaran pesawat-pesawat ini akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Perancis yang merupakan pengeluar asal pesawat tersebut.

 

Perolehan bernilai AS$792 juta itu sedang dirundingkan antara Kementerian Pertahanan Indonesia, pihak Qatar dan Défense Conseil International (DCI).

 

Pembelian 12 buah pesawat terpakai ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Indonesia pada November tahun lalu yang mana pesawat akan diterima dalam tempoh setahun.

 

Qatar menggunakan 12 pesawat Mirage 2000-5 sejak tahun 1997.
Qatar menggunakan 12 pesawat Mirage 2000-5 sejak tahun 1997.

 

Sebelum ini, pesawat berusia 26 tahun itu hendak diambil alih oleh sebuah syarikat kontraktor pertahanan swasta Perancis tetapi persetujuan tersebut dibatalkan.

 

Mirage 2000 merupakan pesawat tempur pelbagai peranan generasi keempat yang dibina oleh firma Dassault Aviation antara tahun 1978 hingga 2007.

 

Sebanyak 600 buah pesawat ini telah dibina dan diguna sembilan negara termasuk Perancis.

 

Tentera udara Qatar membeli 12 buah pesawat varian Mirage 2000-5 pada tahun 1994 yang diterima pada 1997 untuk menggantikan pesawat Mirage F1.

 

Sembilan buah daripadanya adalah pesawat satu tempat duduk manakala selebihnya versi latihan.

 

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto semasa melihat pesawat Dassault Rafale.
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto semasa melihat pesawat Dassault Rafale.

 

Qatar sejak tahun 2010 telah memutuskan untuk menamatkan pesawat Mirage 2000-5 bagi memodenkan kuasa udaranya di rantau Teluk lalu memilih Dassault Rafale.

 

Indonesia merancang untuk menggunakan Mirage sebagai penyelesaian sementara sementara menunggu penghantaran pesawat Dassault Rafale juga dari Perancis.

 

Kontrak perolehan enam pesawat Dassault Rafale ini dimeterai pada Februari 2022. 

 

Negara itu berhasrat untuk memodenkan tentera udaranya dengan memperoleh 42 jet pejuang Dassault Rafale membabitkan nilai sebanyak AS$8.1 bilion.

 

Prabowo (kanan) dan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly semasa menyaksikan majlis menandatangani perolehan pesawat Dassault Rafale di Jakarta.
Prabowo (kanan) dan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly semasa menyaksikan majlis menandatangani perolehan pesawat Dassault Rafale di Jakarta.

 

Justeru, kehadiran pesawat Mirage 2000-5 ini membolehkan juruterbang dan juruteknik Indonesia untuk membiasakan diri dengan pesawat Dassault.

 

Bagaimana pun, keputusan kerajaan Indonesia ini mendapat reaksi negatif beberapa ahli politik di sana yang melihat pembelian pesawat terpakai tersebut sebagai tidak menguntungkan.

 

Sejak beberapa tahun lalu, Indonesia mengintai pesawat tambahan untuk memenuhi keperluan pertahanan udara yang semakin mendesak.

 

Bagaimana pun, kekangan belanjawan dan senarai panjang keperluan pertahanan menghalang usaha tersebut.

 

Perolehan pesawat terpakai dilihat sebagai opsyen terbaik untuk mengisi jurang pertahanan udara negara itu yang mempunyai 17,000 pulau yang terbentang dari pinggir timur Lautan Hindi ke Papua New Guinea.

 

Indonesia membeli enam pesawat Dassault Rafale yang kontraknya dimeterai pada Februari 2022.
Indonesia akan membeli 42 buah pesawat Dassault Rafale.

 

Pembelian Mirage 2000-5 berusia 26 tahun ini mempercepatkan langkah menambah jumlah aset Indonesia.
Pembelian Mirage 2000-5 berusia 26 tahun ini mempercepatkan langkah menambah jumlah aset Indonesia.

 

Dengan kekuatan kira-kira 80 buah pesawat tempur meliputi F-16 Block 15/52ID, Sukhoi Su-30MK2 dan Sukhoi Su-27SKM, jumlah itu masih kecil untuk negara sebesar Indonesia.

 

Indonesia sebelum ini menyatakan minat untuk mendapatkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Austria yang digunakan sejak tahun 2007 tetapi dibatalkan dipercayai atas faktor kos.

 

Daripada satu aspek, pembelian pesawat tempur terpakai merupakan satu cara untuk membolehkan sesebuah negara cepat mendapat pesawat yang diperlukan.

 

Dengan kuantiti yang besar, pemilihan pesawat tempur terpakai memberi lonjakan angka pada aset yang dimiliki.

 

Cumanya faktor usia, jumlah jam penerbangan serta latar belakang penggunaan lalu akan memberi kesan pada had kemampuan pesawat apabila digunakan pengguna baharu.

 

Ini tidak termasuk kos operasi yang jumlahnya mungkin tidak ekonomi berbanding memilih pesawat baharu. - DagangNews.com