Indonesia setuju beli 24 buah pesawat pejuang F-15EX, Boeing kukuhkan pasaran pertahanan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Indonesia setuju beli 24 buah pesawat pejuang F-15EX, Boeing kukuhkan pasaran pertahanan di Asia Tenggara

Perolehan pesawat F-15EX bakal menjarakkan keupayaan pertahanan Indonesia.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Usaha untuk memodenkan angkatan tentera Indonesia rancak apabila republik tersebut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi perolehan 24 buah pesawat pejuang F-15EX. 

 

MoU ini ditandatangani ketika lawatan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ke kilang pesawat F-15 di St Louis, Amerika Syarikat (AS).

 

Ia dimeterai antara Ketua Agensi Infrastruktur Pertahanan, Kementerian Pertahanan Indonesia, Marshal Udara Yusuf Jauhari dan Naib Presiden Pengarah dan Pengurus Program Boeing Fighters, Mark Sears. 

 

Menerusi MoU ini, Indonesia kini selangkah untuk menjadi pengguna pesawat tempur antara paling canggih di dunia ini yang mana fasa seterusnya ialah menunggu kelulusan daripada kerajaan AS.

 

Ini bermakna Indonesia akan menyertai Singapura sebagai pengguna pesawat F-15 di rantau Asia Tenggara.

 

Indonesia
Prabowo (kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU perolehan pesawat F-15EX untuk Indonesia.
 

 

Pada Jun lepas, Indonesia mengumunkan keputusan membeli 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar bagi mengimbangi kekuatan tentera udaranya.

 

Perolehan bernilai AS$792 juta itu telah diluluskan Kementerian Kewangan Indonesia yang mana pesawat akan diterima dalam tempoh setahun.

 

Indonesia juga bakal menerima 18 buah pesawat pejuang Dasault Rafael buatan Perancis menerusi kontrak yang ditandatangani pada Februari tahun lalu.

 

Prabowo sejak tahun lalu menegaskan kesungguhan Indonesia untuk melaksanakan perolehan pesawat F-15 dan menunggu persetujuan akhir daripada pemerintah. 

 

Indonesia
Delegasi Indonesia bersama pegawai tentera AS semasa melawat kilang Boeing di St. Louis.

 

Pihak Boeing juga dikatakan telah bersetuju dengan tawaran kaedah pembayaran menerusi pakej perolehanan yang ditawarkan berdasarkan perbincangan dibuat.

 

Pesawat tempur F-15EX yang bakal dibangunkan untuk Indonesia ini merupakan variasi baharu berasaskan pesawat F-15D.

 

Dari segi geopolitik, kontrak ini penting pada Boeing dan AS kerana ia akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dengan negara sekutunya di rantau ini.

 

Jabatan Negara AS membuat pengumuman pada 10 Februari 2022 untuk meluluskan kemungkinan Penjualan Tentera Asing (FMS) kepada kerajaan Indonesia pesawat F-15ID. 

 

Pakej jualan termasuk MS-110 Recce Pods dan peralatan carian dan jejak inframerah AN/ASG-34.

 

Rafale
Pesawat Dassault Rafale.

 

Mira
Pesawat Mirage 2000 jenis sama dimiliki Qatar.

 

Indonesia pada asalnya memilih pesawat tempur Sukhoi Su-35 buatan Rusia untuk menggantikan pesawat F-5E Tiger II yang berusia.

 

Pembelian 11 jet Sukhoi Su-35 ini melibatkan persetujuan Rusia membeli barangan seperti getah, minyak sawit mentah, kopi, teh, perabot dan rempah ratus.

 

Sukhoi Su-35 bersaing dengan beberapa pesawat pejuang barat termasuk Eurofighter Typhoon, Dassault Rafale, F-16V Viper dan Saab JAS 39 Gripen.

 

Bagaimana pun, rancangan tersebut dibatalkan setelah menerima amaran Washington pada Mac 2020 kemungkinan Indonesia berdepan dengan sekatan.

 

Prabowo

 

Atas sebab ini AS menawarkan F-16 kepada Indonesia sebagai balasan tetapi Jakarta lebih berminat untuk membeli pesawat lebih canggih iaitu F-35.

 

Bagi Indonesia, pembelian F-15EX adalah sebahagian daripada usaha untuk memodenkan tenteranya.

 

Cuma, tekanan belanjawan disebabkan pemulihan selepas pandemik memerlukan hal-hal lain didahulukan selain pihak tentera perlu bersaing dengan kementerian lain untuk sumber kewangan negara. - DagangNews.com