KUALA LUMPUR 9 Jan - Indonesia menangguhkan rancangan untuk memperoleh 12 pesawat tempur Mirage 2000-5 kepunyaan Qatar atas faktor kekangan kewangan negara walaupun keperluan tersebut ada.
Penangguhan tersebut diputuskan oleh kementerian pertahanan dan kementerian kewangan republik tersebut.
Berikutan penangguhan tersebut, Jakarta akan menambah peruntukan bagi proses selenggaraan dan pengubahsuaian untuk pesawat Sukhoi dan F-16 Fighting Falcon sedia ada.
Republik itu mengoperasikan 16 pesawat Sukhoi varian SU-27 dan SU-30MK manakala pesawat F-16 Fighting Falcon yang dimiliki sebanyak 33 buah.
Ini termasuk 24 buah pesawat F-16 terpakai bekas kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat yang diterima pada 2014.
Tahun lalu Indonesia mengumumkan bersetuju mendapatkan pesawat tempur Mirage 2000-5 milik Qatar dengan kos dianggarkan kira-kira AS$792 juta.
Pesawat terpakai itu akan diterima dalam tempoh 24 bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Pembelian ini sebagai gap (penggunaan sementara) sebelum Indonesia menerima sebahagian daripada 42 buah pesawat Dassault Rafale yang dibeli pada 2022 dengan harga AS$8.1 bilion.
Perolehan pesawat tempur terpakai ini dilihat sebagai opsyen terbaik buat Indonesia kerana mempunyai wilayah maritim yang sangat luas.
Seperti negara serantau lain, Indonesia turut berdepan dengan isu keselamatan di Laut China Selatan melibatkan pencerobohan kapal pengawal pantai China.
Bagaimana pun, sejak diumumkan rancangan untuk membeli pesawat Mirage ini telah dikecam oleh beberapa pengkritik termasuk penggubal undang-undang kerana pesawat itu dianggap usang.
Keputusan untuk menangguhkan pembelian Mirage dibuat walaupun Presiden Joko Widodo telah meluluskan peningkatan 20 peratus dalam perbelanjaan pertahanan hingga akhir 2024 untuk menaik taraf perkakasan tentera kepada AS$25 bilion.
Pada masa sama, penangguhan ini turut memberi tempias kepada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dalam kempen pemilihan bakal Presiden republik tersebut.
Isu ini turut dijadikan modal kempen politik kepada dua pencabarnya.
Dua pencabarnya masing-masing membidas keputusan Prabowo untuk mendapatkan pesawat terpakai yang telah pun berusia 26 tahun.
Prabowo sebelum ini dilihat agresif melaksanakan program pemodenan tentera dengan hasrat untuk memodenkan aset-aset sedia ada.
Sejak 2019, belia giat melakukan lawatan ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, China dan Rusia termasuk bagi membincangkan tentang rancangan perolehanan ketenteraan.
Antaranya pembelian 12 dron baharu dari Turkiye dan 24 buah helikopter pengangkut Sikorsky UH-60 Black Hawk dari syarikat AS, Lockheed Martin.
Washington juga pada tahun lalu telah meluluskan persetujuan bagi Jakarta membeli 24 buah pesawat tempur termoden, F-15 Eagle Fighter yang mana perolehan ini bakal menjadikan tentera udara republik itu lebih kuat. - DagangNews.com