KUALA LUMPUR 28 Julai - Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyepadukan sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penyepaduan sistem itu berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia dan ia akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah kawal selia Kumpulan Kerja Bersama Malaysia Indonesia.
"Bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai.
"Oleh yang demikian, pihak Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan PDI dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Saravanan mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia seperti yang digariskan dan Memorandum Persefahaman berhubung PDI pada 27 Julai 2022.
Mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan dasar dan teknikal dalam pelaksanaan kerjasama PDI yang dipersetujui pada 1 April 2022.
Saravanan berkata, perbicangan juga melibatkan isu pemerdagangan orang termasuk buruh paksa dan kedua-dua pihak komited untuk meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia untuk menangani isu itu.
"Saya percaya penyelesaian isu dalam kerjasama PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing.
"Oleh itu, bagi para majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia, mereka digesa untuk segera membuat bayaran levi dengan Jabatan Imigresen.
"Bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan," katanya. - DagangNews.com