Inflasi dijangka terus meningkat akibat cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi diesel - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Inflasi dijangka terus meningkat akibat cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi diesel - RHB Investment

Magnitud sebenar risiko peningkatan akan bergantung kepada beberapa faktor utama. - Gambar Kelvin Zyteng
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Mac - RHB Investment Bank Bhd menjangkakan momentum inflasi meningkat pada suku kedua 2024 (Q2 2024) berikutan pelarasan dalam cukai perkhidmatan dan jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel.

 

Pada prospek ekonomi bulanannya, bank pelaburan itu telah mengekalkan unjuran inflasi 2024 pada 3.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

 

“Mengikut jangkaan kami, cadangan langkah-langkah penyatuan fiskal diunjurkan akan meningkatkan inflasi utama sebanyak 0.7 peratus - 1.1 peratus (berbanding 2.5 peratus tahun ke tahun pada 2023).

 

"Setakat ini, risiko inflasi dikawal oleh harga makanan yang stabil, sebahagiannya disebabkan oleh subsidi makanan yang berterusan dan kawalan harga bagi barangan makanan ruji," kata bank pelaburan itu.

 

BACA JUGA: Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada Februari 2024 - DOSM

 

 

 

 

RHB IB berkata magnitud sebenar risiko peningkatan akan bergantung kepada beberapa faktor utama iaitu seperti tarikh kuat kuasa pelaksanaan untuk rasionalisasi subsidi bahan api, kuantum pelarasan harga dan tarif serta kekuatan kesan pusingan kedua terhadap perbelanjaan isi rumah dan kos perniagaan.

 

“Pada masa ini, tidak disebut tarikh berkuat kuasa untuk rasionalisasi subsidi bahan api atau harga runcit bahan api baharu.

 

"Garis masa kasar untuk rasionalisasi subsidi bahan api ialah harga diesel dirasionalkan menjelang suku kedua 2024, diikuti dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua 2024," tambahnya.

 

Sementara itu, bank pelaburan berkenaan percaya Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan dikekalkan pada 3 peratus bagi 2024, memandangkan kekurangan dorongan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengubah tahap kadar dasarnya tahun ini, serta prospek ekonomi domestik yang lebih cerah di tengahtengah ketidaktentuan dalam trajektori inflasi.

 

“Julat inflasi rasmi yang luas di antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus sepatutnya menyediakan ruang yang mencukupi untuk pergerakan harga di masa depan.

 

"Bank pusat mungkin mengekalkan kadar penanda arasnya sehingga terdapat kejelasan yang lebih besar mengenai garis masa yang tepat dan magnitud pembaharuan subsidi bahan api sambil mengakses kesan yang tertinggal pada keseluruhan trajektori inflasi dan momentum ekonomi," tambahnya. - DagangNews.com