Infomina raih kontrak RM23.9 juta daripada Bank Negara Filipina bagi penyediaan aplikasi teknologi | DagangNews Skip to main content

Infomina raih kontrak RM23.9 juta daripada Bank Negara Filipina bagi penyediaan aplikasi teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Infomina Berhad berjaya memperoleh kontrak bernilai AS$5.4 juta (RM23.9 juta) daripada Bank Negara Filipina (PNB).

 

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak berkenaan adalah bagi penyediaan aplikasi teknologi dan operasi infrastruktur, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan kepada bank itu.

 

"Kontrak tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Mac 2023 hingga 28 Februari 2026.

 

"Kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, faktor risiko berkaitan kontrak itu adalah seperti yang dihadapai oleh Infomina Filipina masa ini.

 

Katanya, risiko utama ialah turun naik mata wang dalam kadar pertukaran mata wang asing, terutamanya dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang dilihat boleh menjejaskan margin keuntungan syarikat.

 

Kumpulan itu berkata, penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik syarikat.

 

"Tiada pengarah, pemegang saham utama Infomina dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu," katanya. - DagangNews.com