Inix jangka jana RM4.48 juta menerusi tawaran saham persendirian | DagangNews Skip to main content

Inix jangka jana RM4.48 juta menerusi tawaran saham persendirian

KUALA LUMPUR 22 Julai - Inix Technologies Holdings Bhd bercadang untuk melaksanakan penawaran saham persendirian sebanyak 46.66 juta saham baharu dalam syarikat itu untuk mempelbagaikan operasi ke dalam perniagaan sarung tangan. 

 

Inix dalam makluman kepada  Bursa Malaysia pada Rabu berkata, penawaran saham persendirian itu dijangka mengumpulkan hasil kasar sehingga  RM4.48 juta, berdasarkan kepada harga terbitan ilustratif 9.6 sen bagi setiap saham yang ditawarkan.

 

Berikutan cabaran dalam perniagaan sedia ada iaitu segmen teknologi maklumat dan komunikasi, syarikat itu berkata ia merancang mempelbagaikan pendapatannya dan mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan teras sedia adanya ketika ini. 

 

“Cadangan tawaran saham persendirian itu mewakili tidak lebih daripada 10 peratus daripada bilangan saham sedia ada dalam syarikat. 

 

“Cadangan pempelbagaian itu termasuk pembuatan, pemasaran dan dagangan sarung tangan,” katanya. 
Setakat 19 Julai, 2021, modal saham terbitan Inix ialah sebanyak RM64.47 juta terdiri daripada 466.60 juta saham Inix.

 

"Harga terbitan saham yang ditawarkan akan ditentukan, ditetapkan dan diumumkan oleh lembaga pengarah pada satu tarikh kelak selepas menerima kelulusan daripada Bursa Sekuriti bagi cadangan penawaran saham persendirian itu.

 

“Hasil akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan sarung tangan kami yang bernilai RM4.249 juta dalam tempoh lapan bulan manakala bakinya bagi perbelanjaan cadangn tersebut,” katanya, lapor Bernama

 

Kumpulan itu berkata ia merancang untuk mengeluarkan sarung tangan lateks bagi penggunaan domestik sebagai permulaan dan mungkin menimbang meneroka jenis sarung tangan lain dan atau pasaran eksport lain pada masa depan. 

 

“Ia bergantung kepada permintaan terhadap jenis sarung tangan lain, keperluan pelesenan dan atau ketersediaan barisan pengeluaran bagi pengeluaran jenis sarung tangan baharu,” kata Inix. 

 

“Bersandarkan pada ini, lembaga pengarah optimis dengan prospek masa depan perniagaan sarung tangan kumpulan,” katanya. - DagangNews.com