Inovasi pek daging korban, jaminan sekuriti makanan dunia kelolaan MyFundAction | DagangNews Skip to main content

Inovasi pek daging korban, jaminan sekuriti makanan dunia kelolaan MyFundAction

oleh MUHAMMAD ALIEF HAKIMIE RAMLI

TIDAK lama lagi, Aidiladha bakal menjelma. Masyarakat yang beragama Islam akan melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan-haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta dalam tempoh empat Hari Tasyrik; 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap tahun.

 

Setiap ekor yang disembelih akan menghasilkan 7 bahagian dan akan diedarkan kepada masyarakat setempat sebagai inisiatif membantu golongan yang memerlukan dari sudut makanan.

 

Namun, sejauh manakah edaran daging korban ini mampu menjamin sekuriti makanan bagi asnaf sekitar temoat penyembelihan?

 

Berapa lama daging korban ini boleh tahan di dalam peti sejuk?

 

Adakah asnaf-asnaf ini mempunyai peti sejuk yang baik untuk penyimpanan daging?

 

Justeru, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dengan kerjasama Food For Hunger Association menjalankan projek korban yang berlainan dengan projek yang lain.

 

Setiap bahagian lembu yang disembelih, akan menghasilkan 50 pek korban. 15 pek akan diberikan semula kepada peserta korban dan 35 pek akan disalurkan kepada asnaf yang terpilih.

myfundaction

 

 

Setiap lembu akan disembelih, dilapah dan dipotong di tempat bersuhu rendah bagi menjaga kualiti daging.

 

Setelah daging-daging siap dipotong dadu, daging-daging tersebut akan disimpan di dalam peti chiller sebelum dimasak dalam tiga perisa; daging masak hitam, kari dan rendang.

 

Setelah dimasak, daging-daging ini akan dibungkus ke dalam pek khas menggunakan teknologi retort yang mampu bertahan selama 2 tahun.

 

Segala proses ini mengambil masa selama empat ke lima bulan bagi menjaga kualiti daging korban.

 

Setelah siap dibungkus, pek-pek ini akan diedarkan kepada asnaf-asnaf di seluruh dunia yang memerlukan makanan.

 

Ketua Pegawai Operasi MyFundAction Siti Aisyah Shahid berkata, MyFundAction telah menyembelih 230 ekor lembu pada 2021.

 

Sebanyak 190 ekor telah sembelih, diproses dan menghasilkan 118,766 pek korban. Pek-pek tersebut telah disalurkan kepada negara yang ditimpa musibah dan juga kepada pelarian dan asnaf di Malaysia, Indonesia, Syria, Afrika, Yaman dan Mesir.

 

Sebanyak 22,191 pek diagihkan kepada mangsa banjir, sebanyak 24,150 pek dikembalikan kepada peserta manakala 72,425 pek diagihkan kepada pelarian, gelandangan dan asnaf.

 

Baki 40 ekor lagi disembelih dan diedar mentah kepada 2730 keluarga yang memerlukan di Selangor, Sabah, Perak and Melaka.

 

 

parafrasa

 

 

“November tahun lepas, semasa kami menghantar pek korban di Syria, apabila melihat pelarian di sana makan daging-daging korban dari Malaysia ini, saya rasa sangat-sangat tersentuh kerana hasil titik peluh kita sebagai masyarakat Malaysia berhasil dalam memberi sekuriti makanan kepada saudara kita di sana.”

 

“Apabila ditanya, bila kali terakhir mereka makan daging? Mereka hanya menjawab hanya sekali setahun iaitu semasa Aidiladha.

 

"Kini mereka dapat lagi merasa daging walaupun Aidiladha belum tiba,” ujar Aisyah.

 

“Hasil usaha ini bukanlah hanya hasil titik peluh kami, bahkan merupakan hasil sokongan yang padu oleh seluruh rakyat Malaysia keseluruhannya,” tambah beliau.

 

Pada tahun ini, MyFundAction menyasarkan untuk menyembelih 500 ekor lembu di dalam negara. - DagangNews.com

 

MyFundAction adalah NGO berdaftar yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia dalam 3 aspek utama: kesukarelawanan, keusahawanan dan kecemerlangan akademik.