KUALA LUMPUR 7 Mac - Institusi perbankan Islam terus proaktif menawarkan pelbagai sokongan dan bantuan khas kepada pelanggan sama ada individu mahu pun perniagaan terjejas akibat banjir untuk menghadapi tempoh mencabar.
Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berkata, institusi perbankan Islam prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan akibat situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri.
Katanya, antara bantuan khas banjir yang disediakan termasuk bantuan bayaran balik bersasar dan penggantian kad secara percuma.
AIBIM berkata, maklumat terkini yang berkaitan boleh didapati di laman web serta media sosial bank dengan pelanggan terjejas boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan.
"Pelanggan yang memerlukan bantuan dinasihat untuk mengutamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu serta menghubungi pihak bank untuk berunding dengan pegawai yang sahih berhubung isu perbankan mereka yang mungkin terkesan akibat banjir ini.
"Ini amat penting untuk mengelakkan pelanggan daripada terpedaya dengan penipuan kewangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, AIBIM memberitahu, akses perkhidmatan perbankan asas akan terus disediakan seperti urusan di kaunter dan mesin layan diri.
Katanya, cawangan bank yang terjejas akibat banjir pula akan dikemaskini dari masa ke semasa.
"Sebagai alternatif, pelanggan juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian untuk urusan perbankan," katanya. - DagangNews.com