Institut Jantung Negara kembangkan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC)  | DagangNews Skip to main content

Institut Jantung Negara kembangkan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) 

Dari kiri: Dato' Seri Dr. Azhari Rosman, Pakar Perunding Kanan Kardiologi IJN; Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, Malaysia; Dato' Seri Dr. Chen Chaw Min, Pengerusi IJN Holdings; Dr Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif IJN
Oleh

KUALA LUMPUR 23 Julai - Institut Jantung Negara (IJN) mengumumkan pelancaran Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) inovatif yang pertama seumpamanya, berikutan lawatan pegawai Kementerian Kesihatan yang telah mengiktiraf IJN sebagai peneraju utama dalam penjagaan jantung di negara ini.

 

Pengiktirafan ini menggariskan peranan penting IJN dalam menangani cabaran berkaitan Penyakit Kardiovaskular Atherosclerotic (ASCVD).

 

Di Malaysia, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti ASCVD menyumbang 71% daripada kematian pramatang, dan ASCVD sahaja bertanggungjawab ke atas 54% daripada kematian yang berkaitan dengan NCD.

 

Lebih membimbangkan, Malaysia mencatatkan kadar kematian setahun yang tertinggi  untuk STEMI (ST-Elevation Myocardial Infarction) di rantau Asia Pasifik, pada kadar 17.9%.

 

STEMI adalah serangan jantung dengan salur darah koronari arteri tersumbat sepenuhnya, yang dianggap lebih teruk dan menimbulkan risiko komplikasi serius serta kematian yang lebih besar.

 

Selain itu, kajian komprehensif yang dijalankan di Amerika Syarikat dan diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Jantung Amerika, mendedahkan pesakit dengan Sindrom Koronari Akut (ACS) mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mengalami masalah kardiovaskular yang berulang.

 

Bahkan, pesakit ini berhadapan dengan risiko 6 kali ganda lebih tinggi untuk mengalami satu lagi masalah kardiovaskular dalam tempoh setahun selepas keluar dari hospital.

 

Statistik yang membimbangkan ini jelas menunjukkan betapa perlunya penjagaan kardiovaskular  dan strategi pencegahan yang lebih baik di negara kita.

 

Penubuhan CRRC yang inovatif di IJN mengukuhkan status pusat jantung itu sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular, penyelidikan, dan pendidikan.

 

Dengan meluaskan jangkauan CRRC, IJN menyasarkan untuk memberikan penjagaan khusus kepada lebih ramai pesakit sambil merevolusikan penjagaan kesihatan kardiovaskular di seluruh negara.

 

Ini sejajar dengan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) 2016-2025, yang bertujuan mengurangkan kematian NCD daripada 20% kepada 15% menjelang 2025.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa majlis pelancaran itu berkata, inovasi Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) IJN menandakan pencapaian penting dan inisiatif responsif dalam usaha Kementerian untuk mengoptimumkan penjagaan penyakit kardiovaskular di Malaysia, khususnya bagi penyakit kardiovaskular aterosklerotik (ASCVD) yang merupakan punca utama morbiditi dan kematian.

 

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada IJN dan Novartis Malaysia, yang telah bekerjasama untuk berusaha sehingga ke akar umbi untuk mengurangkan risiko ASCVD dengan memperkasakan pesakit untuk menjaga kesihatan mereka supaya rakyat Malaysia dapat hidup lebih sihat.

 

“Usaha IJN ini sejajar dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Kementerian Kesihatan 2016-2025," kata beliau.

 

Menurutnya, Kementerian mengharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dalam masa terdekat, kerana usaha sebegini memupuk penyelesaian inovatif melalui model penjagaan komprehensif, yang boleh meningkatkan lagi celik sihat, hasil kesihatan yang baik, dan kesejahteraan rakyat kita dalam kerajaan Madani ini.

 

 

ijn
Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizal Azan Abdul Rahim berkata, selama bertahun-tahun, IJN bukan sahaja telah merawat berjuta pesakit malah menerajui pelbagai prosedur perintis, dan usaha ini bertujuan memerangi penyakit kardiovaskular — penyebab utama morbiditi dan mortaliti di Malaysia.

 

“IJN juga telah mewujudkan insfrastruktur yang mantap dan program latihan tenaga kerja yang komprehensif untuk menyokong pertumbuhannya selain memastikan stardard tertinggi dalam penyampaian penjagaan kesihatan, khususnya di CRRC.

 

"Misi IJN memacu usaha kami untuk kekal berada di hadapan dalam penjagaan kesihatan jantung untuk rakyat Malaysia, memastikan setiap pesakit menerima rawatan bertaraf dunia dan institusi ini meneruskan langkah menetapkan standard baharu dalam kesihatan jantung.”

 

“Kami bersedia berganding bahu bersama Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan risiko kardiovaskular. Melalui gandingan CRRC IJN yang inovatif ini dengan kemahiran dan jaringan Kementerian Kesihatan yang meluas di seluruh negara, kita akan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk hidup lebih lama dan lebih sihat.”

 

 

Dato Sri Dr. Azhari Rosman
Dato Sri Dr. Azhari Rosman

 

 

Sejak penubuhan CRRC dua tahun lalu, hampir 600 pesakit telah mendapat manfaatnya, di mana kualiti hidup dan tahap kesihatan mereka meningkat dengan ketara.

 

Kejayaan ini adalah bukti sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak pentadbiran IJN, diketuai oleh Dato Sri Dr Azhari Rosman (Perunding Kanan Kardiologi) dan pasukan pengurusan yang cukup berdedikasi. - DagangNews.com