Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia lantik Dr Hezri Adnan sebagai Ketua Eksekutif | DagangNews Skip to main content

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia lantik Dr Hezri Adnan sebagai Ketua Eksekutif

KUALA LUMPUR 1 Julai - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah melantik Dr Hezri Adnan sebagai Ketua Eksekutif yang baharu berkuat kuasa hari ini.

 

Sebelum perlantikan ini, Hezri merupakan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk tempoh 2019 hingga 2021, menurut MIER dalam satu kenyataan.

 

Hezri yang mempunyai ijazah Ph.D dari Australian National University (ANU) dalam bidang Dasar Awam berpengalaman luas dalam bidang pembangunan ekonomi mampan dan tadbir urus dalam bidang ekonomi hijau serta pengurusan sumber asli.

 

Beliau juga pernah bertugas sebagai Felo di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). Dari 2015 hingga 2018, Hezri pernah menjadi ahli kepada International Resource Panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkaitan dengan program alam sekitar yang memberi tumpuan kepada isu-isu strategik kekurangan sumber dan kecekapan.

 

Hezri juga telah menjalankan kerja-kerja perundingan untuk United Nations Development Programme (UNDP), United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific UNESCAP dan Bank Dunia berkenaan pelbagai isu berkaitan dengan pembangunan dan cabaran alam sekitar di dunia membangun.

 

“Pihak Lembaga Pemegang Amanah mengalu-alukan kedatangan Hezri menerajui MIER pada masa kritikal ini untuk melihat  betapa pentingnya dasar dan polisi baharu bagi membawa negara bergerak ke tahun pemulihan pasca pandemik,” kata pengerusi MIER Tan Sri Sulaiman Mahbob. - DagangNews.com