Inta Bina dijangka catat peningkatan margin bersih secara beransur-ansur didorong penstabilan kos input, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Inta Bina dijangka catat peningkatan margin bersih secara beransur-ansur didorong penstabilan kos input, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - TA Securities menjangkakan Inta Bina Group Bhd mencatatkan peningkatan margin bersih secara beransur-ansur didorong penstabilan kos input dan permulaan projek baharu dengan margin yang lebih baik.

 

Katanya, sebalik rasionalisasi subsidi diesel, pendedahan kumpulan itu terhadap peningkatan kos kekal terurus kerana jentera dan peralatannya kurang bergantung kepada diesel.

 

"Sepajang dua tahun lalu, margin bersih kumpulan itu terjejas disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan isu gaji minimum, menyebabkan margin bersih mereka berada di bawah 4%.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan margin bersih disebabkan tumpuan strategik syarikat pada projek reka bentuk dan bina, yang biasanya menghasilkan margin yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada masa ini buku pesanan terkumpul kumpulan berjumlah RM1.8 bilion, diterjemahkan kepada 2.9x pendapatan FY23.

 

Katanya, kemenangan kerja baharu kumpulan tahun ini sebanyak RM1.1 bilion telah melepasi andaian awal penambahan kerja FY24 pihaknya sebanyak RM800 juta.

 

"Kumpulan itu telah mengumpul nilai buku tender kasar RM4.1 bilion dan menyasarkan untuk mencapai kira-kira RM1.5 bilion kemenangan pekerjaan baharu tahun ini.

 

"Kami yakin Inta Bina berada pada kedudukan baik bagi memehuni sasaran penambahan buku pesanannya memandangkan rekod prestasinya yang terbukti dalam pembinaan bangunan bertingkat tinggi," katanya. - DagangNews.com