KUALA LUMPUR 11 Sept - RHB Investment menjangkakan inventori minyak sawit terus meningkat berikutan kelemahan permintaan dalam beberapa bulan akan datang, berpotensi melepasi paras 2 juta tan sekitar Oktober hingga November 2024.
Katanya, tahap inventori meningkat kepada 1.88 juta tan pada Ogos (Julai: 1.75 juta tan), didorong oleh pengeluaran yang lebih baik (+3%) dan eksport yang lebih rendah (-10% dari bulan ke bulan)
"La Nina kekal sebagai pemankin utama, walaupun kebarangkaliannya telah berkurangan kepada 74% pada suku keempat tahun ini (82% bulan lepas).
"Pengeluaran buah andan segar (BTS) syarikat di bawah liputan kami juga meningkat 9.8% dari bulan ke bulan dan 6.4% dari tahun ke tahun pada suku kedua 2024," katanya alam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan penanam menjangkakan pertumbuhan keluaran yang lebih kukuh pada separuh kedua 2024 kerana output telah memasuki peringkat pengeluaran puncak, dengan jangkaan pertumbuhan BTS dalam angka tinggi.
Mereka melihat kebanyakannya trend margin suku tahun ke suku tahun yang lebih tinggi untuk pemain dengan operasi hiliran, dengan semua, kecuali satu (Kuala Lumpur Kepong), yang mencatatkan margin suku kedua 2024 yang lebih lemah disebabkan oleh lebihan bekalan global oleokimia, yang membawa kepada pemampatan margin.
Semua penanam lain dengan operasi hiliran seperti SD Guthrie Bhd, FGV Holdings Bhd, IOI Corp Bhd, First Resources dan Golden Agri menyaksikan margin suku tahun ke suku tahun dan separuh tahun ke separuh tahun yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun ini.
"Melangkah ke hadapan, pemain hiliran terus memberi panduan untuk margin yang lebih baik pada separuh kedua 2024.
"Ia disebabkan tahap inventori negara pengimport telah berkurangan dan sementara ini boleh melakukan aktiviti pra penambahan inventori sebelum pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) baharu pada 30 Disember 2024," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' dan menyukai IOI Corp, Johor Plantations Group,Sarawak Oil Palms dan London Sumatra Indonesia.
"Kami menaik taraf SD Guthrie kepada 'beli' pada suku tersebut berdasarkan strategi kepelbagaiannya," katanya.- DagangNews.com