IOI Properties Group dijangka tubuhkan REIT selepas portfolio pelaburan hartanah semakin matang, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

IOI Properties Group dijangka tubuhkan REIT selepas portfolio pelaburan hartanah semakin matang, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - TA Securites menjangkakan IOI Properties Group Bhd akan menubuhkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) memandangkan portfolio pelaburan hartanahnya semakin matang.

 

Katanya, walaupun butiran khusus mengenai tawaran awam permulaan (IPO) REIT masih belum tersedia, nilai pelaburan kumpulan itu berada pada RM18 bilion menurut laporan tahun FY23 mereka. 

 

"Menerusi penubuhan REIT, IOI Properties boleh membuka kunci nilai daripada pelaburan hartanahnya, mengurangkan hutang dan menambah baik kunci kira-kiranya pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memiliki bank tanah aktif seluas 2,101 hektar denganjumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM67.3 bilion.

 

Katanya, IOI Properties juga memiliki tanah aktif seluas 1,214 hektar di tempat lain dan tidak mempunyai sebarang rancangan pembangunan buat masa ini.

 

"Kumpulan itu berada pada kedudukan baik bagi memanfaatkan pasaran Johor yang sedang berkembang maju, hasil simpanan tanahnya yang belum dibangunkan seluas 1,565 hektar (GDV: RM7.9 bilion) dan tambahan 607 hektar tanah bukan teras di negeri itu," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, bagi 9MFY24, keuntungan operasi bahagian pelaburan hartanah kumpulan melonjak sebanyak 43% didorong oleh prestasi teguh IOI City Mall Fasa 2.

 

Firma penyelidikan itu jugta menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh apabila Menara Central Boulevard (CBT) di Singapura siap pada September 2024.

 

"Kami mengunjurkan pendapatan bahagian pelaburan hartanah IOI Poperties berkembang sebanyak 32% pada FY25 dan 19% pada FY26, berdasarkan kepada kadar penghunian konservatif sebanyak 50% dan 80%, serta purata kadar sewa bulanan sebanyak SG$9 sekaki persegi, berbanding kadar permintaan terkini sebanyak SG$11 sekaki persegi.

 

"Menjelang FY26, kami menjangkakan bahagian pelaburan hartanah akan menyumbang 28% kepada hasil kumpulan, peningkatan ketara daripada 19% pada FY23," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.00 sesaham.- DagangNews.com