IPIC, Aabar PJS setuju bayar AS$1.8 bilion kepada MOF dan 1MDB | DagangNews Skip to main content

IPIC, Aabar PJS setuju bayar AS$1.8 bilion kepada MOF dan 1MDB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa dan Mahkamah Tinggi London.

 

"Menerusi penyelesaian itu, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, kedua-dua pihak terlibat dalam isu undang-undang di mahkamah London dengan dakwaan bahawa IPIC dan Aabar terlibat dalam penipuan 1MDB.

 

Putrajaya sebelum ini telah mencabar penyelesaian timbang tara 2017 antara kedua-dua pihak di UK, dengan alasan IPIC dan Aabar Investments menyedari dakwaan penipuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa perjanjian itu dicapai.

 

pm
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

IPIC menjamin dua bon denominasi dolar berasingan untuk 1MDB pada 2012 dalam urus niaga yang diatur oleh Goldman Sachs Group Inc. yang mengumpul AS$3.5 bilion (RM15.67 bilion).

 

Kes 1MDB merupakan antara skandal kewangan terbesar dalam sejarah melibatkan siasatan di seluruh dunia termasuk Singapura dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com