IPO CTOS Digital dijangka raih hingga RM1.21 bilion | DagangNews Skip to main content

IPO CTOS Digital dijangka raih hingga RM1.21 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - CTOS Digital Berhad dijangka menjana hingga RM1.21 bilion hasil daripada pelancaran tawaran awam awal (IPO) kumpulan hari ini.

 

Ini terdiri daripada terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu dan tawaran jualan berjumlah 900 juta saham sedia ada, masing-masing pada kadar RM1.10 sesaham.

 

Daripada RM220 juta hasil IPO daripada terbitan awam, sebanyak RM155.2 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, sementara RM59.0 juta lagi diperuntukkan bagi pelaburan sinergi dan pengambilalihan syarikat yang disasarkan.

 

Selebihnya iaitu RM6.1 juta akan digunakan untuk membiayai yuran dan perbelanjaan penyenaraian, menurut kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Di bawah terbitan 200 juta saham baharu, sebanyak 44 juta akan diperuntukkan untuk permohonan rakyat Malaysia menerusi pengundian; 120 juta untuk pengarah, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kumpulan, yang layak; 36 juta lagi ditawarkan untuk pelabur institusi Malaysia dan asing.

 

Permohonan bagi IPO CTOS Digital dibuka bermula hari ini dan ditutup pada 6 Julai 2021 dengan jangkaan penyenaraian kumpulan di Papan Utama Bursa Malaysia bermula 19 Julai depan.

 

Berucap pada pelancaran prospektus hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin berkata, sokongan yang jitu dari pelabur tempatan dan global yang ternama menggambarkan keyakinan mereka terhadap rekod prestasi dan pertumbuhan kumpulan pada masa akan datang.

 

“Penawaran produk CTOS Digital telah berkembang menjangkaui instrumen pelaporan kredit, untuk merangkumi perluasan penyelesaian digital dalam menyokong setiap peringkat kitaran pelanggan.

 

Dennis Martin
Dennis Martin

 

“Semua ini wujud daripada pertumbuhan kewangan yang stabil, menjadikan kami agensi pelaporan kredit utama di Malaysia,” ujar beliau.

 

Sebanyak 23 pelabur komited untuk menyertai penawaran IPO bagi kelas institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Aberdeen Standard Investment, AIA, Eastspring Investments, FIL Investment Management dan JP Morgan Asset Management.

 

Kumpulan meraih RM42.3 juta dari segi hasil pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21), meningkat 24.1% daripada RM34.1 juta, bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu melebihi pertumbuhan daripada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2018 hingga 2020 (FY18 hingga FY20), di mana kumpulan mencatatkan 12.8% kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dalam hasil, daripada RM110.5 juta kepada RM140.5 juta. - DagangNews.com