IPO Oppstar terlebih langgan sebanyak 77.05 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Oppstar terlebih langgan sebanyak 77.05 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Oppstar Berhad yang akan disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Mac ini menyatakan bahawa tawaran awam permulaannya (IPO) terlebih langgan sebanyak 77.05 kali.

 

Penyedia reka bentuk litar bersepadu (IC), dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 31.81 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia menerima sejumlah 39,103 permohonan untuk 2.48 bilion saham dengan nilai RM1.56 bilion, mewakili lebihan langganan keseluruhan sebanyak 77.05 kali.

 

Sejumlah 17,257 permohonan untuk 749.25 juta saham IPO diterima di bawah kategori Bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 46.11 kali.

 

Sejumlah 21,846 permohonan untuk 1.73 bilion saham IPO diterima di bawah kategori awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 108.00 kali.

 

Oppstar menyatakan bahawa sejumlah 22.26 juta saham untuk permohonan oleh orang yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal telah mengesahkan bahawa 31.87 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih serta 79.52 juta saham IPO oleh cara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Sebelum ini, Oppstar dijangka meraih dana sebanyak RM104.25 juta daripada terbitan IPO itu dan akan memperuntukkan 47.96% daripada hasil untuk pengembangan tenaga kerja dan 23.98% untuk penubuhan pejabat baharu.

 

Sebanyak 11.51% lagi adalah untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan dan 12.14% disalurkan kepada modal kerja manakala baki adalah untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian. - DagangNews.com