IPO syarikat UUE Holdings terlebih langgan sebanyak 103.83 kali | DagangNews Skip to main content

IPO syarikat UUE Holdings terlebih langgan sebanyak 103.83 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Tawaran awam permulaan (IPO) UUE Holdings Bhd untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 103.83 kali.

 

Kumpulan itu berkata, sebanyak 25,019 permohonan diterima bagi mendapatkan 3.19 juta saham terbitan dengan nilai RM765.2 juta diterima daripada orang awam Malaysia.

 

Katanya, bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 74.03 kali, selepas sejumlah 12,691 permohonan untuk 1.14 bilion saham terbitan diterima.

 

Bagi bahagian awam, sebanyak 12,328 permohonan untuk 2.05 bilion saham terbitan telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 133.64 kali.

 

"Sementara itu, sejumlah 40.6 juta saham terbitan tersedia untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: UUE Holdings sasar kumpul RM29.98 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Ejen Penempatan mengesahkan bahawa 38.6 juta saham terbitan dan 37.5 juta saham tawaran melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)  serta 15.3 juta saham terbitan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Terdahulu, kumpulan tu berhasrat membelanjakan lebih 50% daripada hasil kasar yang diperoleh untuk pembelian jentera dan peralatan baharu daripada mesin HDD, lori dan jengkaut selain berhasrat untuk memperoleh mesin pelantar HDD Maxi pertama yang akan menandakan usaha pertama mereka dalam kerja dasar laut.

 

Kumpulan itu juga akan memperuntukkan lebih 36% untuk modal kerja yang akan menyokong projek sedia ada dan baharu yang dilaksanakan.

 

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com