Iskandar Waterfront City sasar bina 3 projek dengan GDV RM4.3 bilion di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Iskandar Waterfront City sasar bina 3 projek dengan GDV RM4.3 bilion di Johor Bahru

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - Iskandar Waterfront City Berhad (IWCITY) mendedahkan bahawa ia merancang untuk membangunkan tanah seluas 59 hektar merangkumi tiga projek yang terletak strategik berhampiran stesen sistem transit rapid (RTS) Bukit Chagar dan pusat bandar Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.3 bilion.

 

Pemaju hartanah itu berkata pelan pembangunan induk strategik tersebut, yang disasarkan bagi tempoh 10 tahun akan datang, bakal memanfaatkan kedekatan lokasinya dengan hab pengangkutan utama dan pusat bandar.

 

“Salah satu projek utama dalam perancangan adalah Danga Rivera, pembangunan bercampur pinggir air di kawasan matang Permas Jaya, yang menampilkan pejabat kedai, ruang runcit, hotel dan suite perkhidmatan, dengan anggaran GDV berjumlah RM500 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Hari ini, IWCITY juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat hotel terkemuka dari Sepanyol, Meliá Hotels International S.A. untuk pembangunan ini.

 

Jurucakap IWCITY, Yap Meow Hin berkata, kerjasama dengan Meliá Hotels International menggariskan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dan visi untuk mengubah landskap yang memperkayakan komuniti. 

 

“Ini adalah masa yang mengujakan bagi IWCITY kerana kami memanfaatkan lokasi strategik bank tanah yang jarak pemanduannya antara 10 miniti hingga 15 minit ke Stesen RTS Bukit Chagar,” katanya.

 

Satu lagi rancangan pembangunan IWCITY adalah perbandaran tepi laut Teluk Tebrau, yang terletak di muara Sungai dan berkeluasan 40 hektar. 

 

Menurut IWCITY, projek yang terletak hanya 15 minit dari Stesen RTS Bukit Chagar itu dijangka mempunyai GDV bernilai RM 3.5 bilion dalam beberapa fasa, bermula dengan fasa permulaan seluas 12 hektar.

 

Di samping itu, IWCITY sedang membangunkan Danga Heights, pembangunan seluas 11.9 hektar yang akan menampilkan pejabat kedai dua tingkat dalam fasa pertamanya, dengan jangkaan GDV k RM330 juta. 

 

“Projek itu juga akan merangkumi sebuah hotel berjenama, pejabat, dan pangsapuri perkhidmatan, serta dikelilingi secara strategik oleh kira-kira 500,000 penduduk di kawasan kediaman matang Kempas,” tambahnya.

 

IWCITY berkata, fasa pertama bagi ketiga-tiga projek pembangunan utama itu dijangka menjana GDV sebanyak RM1.8 bilion dengan membangunkan kira-kira 25.5 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com