Ismail Sabri bawa mandat Nasion | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri bawa mandat Nasion

Oleh Dr. Zach

ISTILAH nasion diambil daripada kata asal nation. Ia sama sahaja dengan nation building yang biasa dibicara oleh Huntington atau Fukuyama di Washington University.

 

Hari ini ramai orang keliru berkenaan istilah Politik dan Kerajaan. Mereka ini mengelirukan orang ramai kononnya politik dan kerajaan itu dua isme yang sama.

 

Mereka kelirukan rakyat kononnya politik mesti mendominasi Kerajaan. Kononnya tidak ada pengasingan Politik dan Kerajaan. Ini bukan kuliah di universiti.

 

Persoalannya politikus yang mana dan yang bagaimana?

 

Saya cuba bawa bahasa yang paling mudah dan realitas. Kita bermula dengan situasi tahun 2018. Selepas PRU14, ramai orang lupa ketika itu tidak ada satu parti yang betul-betul majoriti untuk membentuk kerajaan. NO clear majority.

 

Akibatnya, kerajaan tidak mempunyai Perdana Menteri selama kira-kira 3 bulan kerana menantikan negosiasi dalam gabungan parti-parti BERSATU, PKR, DAP dan Amanah khususnya. Pakatan Harapan (PH) hanya rasmi ditubuhkan kemudian.

 

Apabila Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua, beliau cuba memulihkan ekonomi menggunakan modus operandi lama iaitu penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan seakan MTEN, kembali menjalankan hubungan dengan Jepun dengan harapan ada bantuan ajaib daripada Jepun. Malangnya, Jepun sekarang bukannya Jepun dahulu. 

 

Dipendekkan cerita, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran Perdana Menteri selepas Langkah Sheraton. Negara dan Kerajaan tetap stabil dan tiada huru-hara kerana fundamental politik negara sudah matang. Malang kepada TSMY kerana mewarisi suasana pandemik COVID-19 yang sangat teruk dan menjejaskan ekonomi negara.

 

Dipendekkan cerita lagi, pada bulan Ogos 2021 politik negara kembali panas apabila TSMY terpaksa menyerahkan kuasa kerana penarikan balik sokongan daripada segelintir UMNO. Namun, Kerajaan tetap aman dan berfungsi seperti biasa.

 

Bertukar tiga kali Perdana Menteri hampir 4 tahun tetapi Negara dan Kerajaan tetap stabil, itulah makna fundamental nasion kita kukuh.

 

 

PM

 

 

AURA ISMAIL SABRI

Ramai tidak tahu, pada malam hari sebelum Ismail Sabri dilantik menjadi Perdana Menteri. Perjumpaan demi perjumpaan dibuat dalam tempoh 48 jam untuk mendapatkan konsensus daripada parti-parti UMNO, BERSATU, PAS dan juga komitmen luar biasa daripada DAP, PKR dan Amanah.

 

Ismail Sabri seawal pembentukan Kerajaan baru telah berjaya menyatukan parti-parti politik Kerajaan dan Pembangkang untuk bersama-sama komited memerintah negara. 

 

Bukan bersama-sama mentadbir negara, tetapi bersetuju untuk bersetuju dalam pemerintahan negara kepada banyak perkara demi nasion seperti bersetuju kepada RMK12, Bajet 2022 dan sebagainya.

 

Dalam masa yang singkat, Ismail Sabri berjaya menenangkan rakyat dalam isu-isu besar seperti peningkatan kos hidup, pengeluaran EPF, pasca COVID-19 dan paling besar berjaya mengemudi Kerajaan menjayakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022 dengan sokongan lebih 2/3 dalam Dewan Rakyat. 

 

Bantuan-bantuan Ismail Sabri kepada mangsa-mangsa banjir sangat-sangat luar biasa walaupun baru 4 bulan memerintah. Anda boleh google search. 

 

 

PM

 

 

Ismail Sabri memberikan bonus tertinggi kepada penjawat awam sejak lebih 10 tahun. Malah bertahun-tahun Cuepacs merayu isu GCR, ianya dapat dipenuhi oleh Ismail Sabri tanpa banyak syarat.

 

Dari segi politik ia sangat luar biasa. Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu yang lama memerintah bertahun-tahun pun tidak mampu mencapai kejayaan tersebut walaupun pernah menikmati Kerajaan 2/3 dalam Dewan Rakyat. Mereka tidak berjaya meyakinkan parti-parti pembangkang dan Ismail Sabri berjaya.

 

Persoalan seterusnya ialah perlukah Ismail Sabri memegang jawatan Presiden parti politik di mana beliau sekarang menjadi Perdana Menteri.

 

Jawapannya sangat perlu. Ia adalah amalan UMNO secara tradisi. Perdana Menteri hendaklah diberikan menjadi Presiden UMNO.


 
Ada orang bertanya kenapa bukan Zahid menjadi Perdana Menteri?


Jawapannya pengundi 18 tahun pun boleh jawab. Berpuluh-puluh tuduhan di Mahkamah bukan sahaja akan merosakkan nama baik negara, malah akan merosakkan masa depan UMNO dalam PRU15. Ini disebut tidak berjiwa nasion sebaliknya berjiwa individual. 

 

UMNO dan BN mesti berfikiran bijaksana. Sekarang UMNO/BN mempunyai peluang besar untuk memerintah dengan kemungkinan besar dapat lebih 2/3 jika Ismail Sabri Perdana Menteri dan Ismail Sabri Presiden UMNO.

 

Lihatlah di PRN Melaka baru-baru ini, hanya beberapa poster Keluarga Malaysia sahaja dengan sekeping gambar Ismail Sabri, UMNO/BN berjaya mendapat lebih 2/3 majoriti. 

 

 

PM

 

 

Jangan kata poster boy tidak ada kesan, lihatlah poster Abah di merata-rata tempat gagal menawan pengundi Melaka. TSMY juga memasuki pintu negarawan, walaupun tewas TSMY mengucapkan Tahniah kepada UMNO/BN dan Kerajaan Persekutuan kekal tidak terganggu. 

 

TSMY faham politik adalah politik, Kerajaan adalah Kerajaan. Kerajaan mesti stabil, itulah dia nasion.

 

Kesimpulan

Saya melihat Ismail Sabri ada aura. Janganlah persia-siakan peluang ini.

 

Tidak ada yang salah kepada Zahid, hanya masa dan keadaan tidak memihak kepadanya kerana kes-kes yang amat besar di mata rakyat dalam dan luar negara. 

 

Sebaliknya, Ismail Sabri tidak minta menjadi Perdana Menteri malah tidak pernah pun bercakap mahu menjadi Presiden UMNO, tetapi petunjuk daripada Allah SWT telah memberikan seorang pemimpin yang sesuai pada masa dan keadaan. 

 

 

PM

 

 

Cadangan saya berikan Ismail Sabri peluang mengemudi PRU15 sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. 


Fikir-fikirkanlah.

 

Dr. Zach.
KLIA. 02022022

 

DISCLAIMER: Tulisan ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pendirian dan dasar Editorial DagangNews.com