Ismail Sabri diminta beri perhatian kepada OKU, Orang Asli dan nasib penulis | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri diminta beri perhatian kepada OKU, Orang Asli dan nasib penulis

ISMAIL SABRI YAAKOB (berdiri, dua dari kiri) semasa menjadi bendahari Persatuan Hisab dan Sains Sekolah Menengah Teknik Kuantan. - Gambar ihsan Shafee Mohamad

 

 

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

TAHNIAH di atas pelantikan Dato Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke- 9. Sebagai seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuantan ini adalah satu penghormatan yang besar. Apalagi untuk seorang anak Pahang.

 

Sekolah Menengah Teknik Kuantan pernah melahirkan ramai orang politik dan pendidikan yang ternama. Antaranya ialah Tan Sri Lau Yin Pin, Tan Sri Hamad Kama Piah, Dato Seri Mohd Sharkar, Dato Sri Abdul Rahman Bakar, Dato Daing Malek, Dato Seri Noh Omar, Tengku Zulpuri, Cheam Tat Lin, Dato Seri Ir Mohd Noor Yaacob, dan Datuk Hamid Ali untuk sedikit nama dari ratusan yang menjadi penjawat awam,  wakil rakyat, Ahli Parlimen, ahli akademik, Angkatan Tentera serta artis.

 

Pelantikan Dato Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri adalah kemuncak kepada para lepasan sekolah dan terasa amat berbangga dengan kejayaan ini. Beliau belum diuji dengan permainan politik dan kita mengharapkan yang terbaik dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

 

Ada tiga perkara untuk perhatian Dato Seri Ahmad Sabri yang boleh diketengahkan apalagi buat seorang OKU seperti saya. Beliau mempunyai banyak hal lebih penting sebagai pemimpin nasional untuk difikirkan seperti COVID-19, kelesuan ekonomi dan pergolakan politik tentunya lebih utama buat masa sekarang.

 

Tiga perkara yang menjadi perkara untuk saya ialah OKU, orang asli dan penulis.

 

Sewajarnya membuka lembaran baharu dalam soal kedudukan dan pengiktirafan terhadap golongan OKU di negara kita.

 

Saya yakin banyak ruang untuk menambah baik dari segi aspek peluang, sokongan dan kemudahan untuk kelangsungan hidup golongan OKU. Ironinya, masih belum ketara biarpun pihak kerajaan cuba dengan penyediaan pelbagai inisiatif dan dorongan.

 

Tuntasnya, penglibatan OKU dalam masyarakat mesti diterima dengan seadanya dan diberikan kedudukan serta pengiktirafan yang selayaknya serta diterima sebaiknya.

 

Kita tidak menjadi OKU atas pilihan dan kehendak sendiri. Tiap orang mempunyai rezeki dengan lahir sebagai OKU atau selepas sesuatu kemalangan dan insiden seperti saya, selepas terkena strok. Secara ringkas ini adalah di luar  kemampuan dan kawalan yang tidak pernah tahu di hari esok.

 

 

fudzail
Gambar oleh Steven HWG 

 


Diharapkan dapat memperkukuhkan kedudukan golongan OKU terutamanya dari aspek memperoleh hak dan layanan yang lebih setara dan adil.

 

Mungkin segala masalah, harapan, rintihan dan aduan golongan OKU yang kedengaran tidak dipedulikan oleh mana-mana pihak biar dalam kalangan orang politik hingga kepada menteri.

 

Jumlah golongan OKU dikatakan mencapai 15% atau kira-kira 4.3 juta orang. Kita sudah ada senator OKU, barangkali seorang OKU boleh dilantik sebagai menteri. Sekaligus menuntut pihak kerajaan menunaikan permintaan golongan OKU yang semakin ramai dalam masyarakat.

 

Isu yang masih terus berpanjangan dan relevan untuk diperjuangkan ialah kesukaran memperoleh peluang pekerjaan baik di sektor awam dan swasta. Kekurangan dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti awam untuk OKU menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan teratur.

 

Saya melihat salah satu kemudahan yang tiada ialah tandas awam mahupun tandas di rumah untuk OKU.

 

OKU, ramp dan railing untuk kerusi roda, eskalator dan lif khas yang mesra OKU. Apalagi tempat parkir kenderaan dan kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU seperti bas dan komuter. Boleh ditambah baik sekiranya sudah ada dan menambahkan jumlah di kawasan bandar.

 

Begitu juga dengan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan untuk  memperjuangkan keperluan dalam survival hidup OKU.

 

OKU tidak mengharap belas kasihan, simpati dan ihsan orang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. OKO mahu berdikari, dilatih dan dibimbing. Dengan peluang kerja yang terhad dan sedikit perlu meneroka peluang dalam bidang perniagaan atau keusahawanan.

 

 

fudzail
Gambar oleh Igor Rodrigues

 

 

Kita jangan lupa golongan OKU yang berpendidikan tinggi, cekap dan bijak dalam menjalankan tugas. Hanya kurang mendapat pendedahan dan peluang untuk membuktikan kemampuan serta bersaing dengan orang sempurna.

 

Malah membanggakan rakyat dan negara seperti dalam bidang sukan bertaraf dunia yang wajar mendapat pujian dan pengiktirafan.

 

Usaha dan inisiatif untuk terus menambahbaik aspek kebajikan, keselamatan, kemudahan serta kesihatan yang OKU perlukan tidak boleh ada jalan akhir. Kita berharap akan terus merintis jalan ke arah pemerkasaan kedudukan dan pengiktirafan terhadap golongan OKU yang jumlahnya tidak boleh dipandang sepi.

 

Selain itu, pelbagai isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat orang asli. Terutama pencerobohan tanah oleh pihak berkepentingan yang dilihat makin meningkat saban tahun.

 

Juga hak untuk menentukan adat sendiri masih tiada, hak untuk mendapatkan tanah adat sehingga sekarang masih belum menjumpai kata putus. Ditambah bentuk bantuan dan pendekatan yang diberikan oleh kerajaan/NGO/agensi luar lebih kepada bentuk bantuan. Ini menyebabkan keberterusan kebergantungan orang asli dengan pihak tersebut dan bukan program-program yang lebih kepada pemerkasaan masyarakat orang asli itu sendiri.

 

Terdapat pelbagai pelan strategi yang ditubuh atau diuar-uarkan namun ianya tidak diterjemah kepada bentuk fizikal iaitu tiada perlaksanaan yang komprehensif.

 

 

fudzail
Perkampungan masyarakat Orang Asli Batek.

 


Dalam membantu masyarakat Orang Asli untuk menyelesaikan masalah-masalah perlu adanya keseriusan oleh pihak kerajaan. Struktur pihak JAKOA mesti berdaya upaya dan diperkukuhkan dengan menempatkan pegawai-pegawai yang mencukupi. Malah mempunyai kepakaran dan semangat yang jitu dan tinggi dalam membantu masyarakat Orang Asli seluruhnya.

 

Pihak Kerajaan perlu jelas dengan pembangunan dan kemajuan. Bukan hanya semata-mata mendirikan bangunan batu namun ianya lebih kepada membina kesejahteraan ekosistem dan survival masyarakat. Setiap perancangan dan pelan untuk pembangunan orang asli mesti bersifat dinamik untuk sekarang dan masa hadapan yang panjang. 

 

Perlu ada perlaksanaan yang berkesan. Pembangunan yang dirancang sepatutnya bukan mengikut acuan namun perlu ikut acuan masyarakat orang asli itu sendiri. Masyarakat orang asli tidak seharusnya dipinggirkan dan perlu dilibatkan sebagai rakan pembangunan setelah merdeka 64 tahun.

Saya juga ingin menulis masalah yang dihadapi oleh penulis seperti penipuan penerbitan terhadap para penulis, masalah hak cipta, masalah penjualan karya, masalah penampungan karya, masalah penerbitan karya dan masalah royalti.

 

Selain itu sastera semakin dilupakan dengan Dewan Sastera dihidangkan secara percuma melalui online. Selain terpaksa membelanjakan wang sendiri untuk menerbitkan karya dalam COVID-19.

 

Masalah besar kepada para penulis ini ialah untuk memasarkan karya yang diterbitkan sendiri. Kebanyakan kedai buku yang terkenal tidak mahu mengambil karya-karya yang datang langsung dari penulis, mereka mahu karya yang datang melalui penerbit.

 

 

fudzail
REKA bentuk unik bangunan Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak.

 

Mungkin Perpustakaan Negara tidak bertumpu kepada novel-novel popular/picisan. Karya-karya dari para penulis yang sudah ada gelaran seperti para penerima Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Mastera dan SEA Write Awards. Sepatutnya pembelian Perpustakaan Negara diberi keutamaan kepada karya-karya yang bercorak akademik dan karya kreatif yang serius yang layak untuk bacaan umum.

 

Mengikut satu sumber sudah jadi karya terlaris sehingga mencecah jualan 200,000 unit dalam masa setahun dua sahaja. Dengan itu para penulisnya sudah mendapat royalti hingga beratus ribu malah mencecah jutaan ringgit.

 

Lebih baik kalau pembelian dihadkan kepada karya- karya yang serius dan karya bercorak akademik yang mengandungi pemikiran besar. Keutamaan patut diberikan kepada karya-karya yang diterbitkan sendiri oleh para penulisnya. Ini adalah kerana karya-karya seperti ini sangat sukar untuk dijual di kedai-kedai buku dan menembusi pasaran tempatan.

 

Diharapkan satu badan khusus sebagai tempat penyimpanan stok karya-karya para penulis untuk membantu karya-karya itu diedarkan ke pasaran seluruh negara.

 

Harapan saya semoga rintihan ini didengar oleh Dato Seri Ismail Sabri, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuantan. - DagangNews.com

 

 

fudzail